Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TASEK GELUGOR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang menyelaraskan mekanisme subsidi petrol Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) bagi mencari penyelesaian terbaik dalam membantu petani dan pesawah.

Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata penyelarasan sedang dibuat melalui perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) selepas memperoleh aduan daripada golongan berkenaan yang mendakwa 300 liter sebulan tidak mencukupi bagi kerja pertanian.

“Memang ada terima aduan daripada petani dan pesawah berhubung pemberian subsidi petrol BUDI95 (tidak cukup 300 liter) dan ketua setiausaha kementerian sedang menyelaraskan perkara itu dengan MOF untuk tindakan segera.

“KPKM berusaha memberi bantuan dalam pelbagai bentuk kepada mereka,” katanya kepada pemberita berhubung dakwaan subsidi petrol 300 liter sebulan tidak mencukupi untuk pesawah dan petani.

Mohamad ditemui pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting, di sini, hari ini.

Pada 23 September lalu, Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) menyarankan kerajaan mewujudkan kad petrol khas pesawah bagi memastikan golongan itu mendapat akses terus kepada subsidi bahan api mengikut keperluan sebenar kerja sawah dan pertanian.

Koordinatornya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Muni, dilaporkan berkata cadangan itu dibuat selepas melihat inisiatif BUDI95 tidak mengambil kira realiti penggunaan petrol untuk kelangsungan kerja pesawah di bendang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan seperti sistem subsidi nelayan dan dipantau melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).-BH Online