Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM, 27 September – Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan kepentingan usaha mendokumentasi, memetakan serta mengiktiraf amalan perubatan tradisional dan komplementari termasuk perubatan pribumi agar dapat dimasukkan di bawah Akta 775.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu selaras dengan strategi global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mahu melihat perubatan tradisional dan ‘indigenous medicine’ diangkat ke dalam sistem kesihatan rasmi.

“Jadi oleh kerana itu yang mustahaknya adalah langkah pertama dokumentasi dahulu dan juga kedua adalah membuat lakukan urus dengan kita melakukan mapping pembetaan pengamal-pengamal terutama yang sudah agak masyur sama ada di Sabah Sarawak.

“Juga di Semenanjung, di Pahang, di Kelantan dan sebagainya, jadi oleh kerana itu akhir nanti kita akan dapat kenalpasti kehebatan mereka berlaku, ini ideanya, mutual referral, kalau ada hal yang tertentu tentang rawatan, orthopedik, patah dan sebagainya itu, mereka juga ada pakar-pakar mereka” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jalinan MADANI: Pemerkasaan Perubatan Tradisional Orang Asli Semenanjung, Anak Negeri Sabah dan Anak Negeri Sarawak di Amverton Cove Golf & Island Resort, Pulau Carey di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan mengambil kira kebimbangan pengamal perubatan pribumi berhubung isu hak harta intelek dan benefit sharing, agar kepakaran turun-temurun mereka tidak dimanipulasi pihak yang hanya mengejar keuntungan komersial.

Jelasnya, usaha ini penting bagi membolehkan amalan perubatan tradisional yang telah wujud sejak ratusan tahun seperti rawatan patah tulang, urutan, dan herba dikenali, didokumentasikan, dan dimanfaatkan secara rasmi dalam sistem perubatan negara.-Berita RTM