Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang semakin menghampiri zon kuning pantai Gaza mungkin berdepan ancaman tindakan lebih intensif dilancarkan rejim Zionis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya percaya usaha itu bertujuan untuk menggagalkan misi GSF berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada pengesahan daripada Tel Aviv setakat ini, selain ancaman itu disifatkan sebagai propaganda untuk menakut-nakutkan sukarelawan yang terbabit dengan misi kemanusiaan GSF.

“Kita dimaklumkan mengenai perkembangan berkenaan hari ini, namun belum ada sebarang pengesahan atau maklumat lanjut diterima daripada Israel sendiri.

“Namun, hasil percakapan dengan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati di peringkat ini, ia (ancaman tindakan ke atas sukarelawan GSF) mungkin hanya propaganda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sejahtera Keluarga Madani Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) – Santuni Komuniti Cacat Penglihatan 2025 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie merangkap Ketua Pengarah JKSM, Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Mohammad Faizal Che Yusof.

Ditanya persiapan berdepan propaganda Israel itu, Mohd Na’im berkata kerajaan Malaysia bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu mengetengahkan naratif lebih jelas berpandukan objektif misi kemanusiaan GSF.

“Objektif GSF jelas untuk memastikan genosid di Gaza dihentikan segera, selain menoktahkan kebuluran yang berlaku di kawasan dikepung rejim Zionis itu.

“Kita juga perlu berdoa dan berharap supaya keselamatan sukarelawan sentiasa terjamin, selain saya sudah mengarahkan setiap masjid dan surau di Wilayah Persekutuan melakukan solat sunat hajat, bacaan qunut nazilah serta mendoakan keselamatan sukarelawan yang sedang berlayar ke Gaza,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, BSK JSKM melakar sejarah apabila julung kali melancarkan buku braille berkaitan perundangan syariah bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Inisiatif itu, katanya bakal memberi kemudahan kepada komuniti berkenaan untuk membuat rujukan, terutama dalam urusan berkaitan kekeluargaan di Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, buku panduan bertajuk Ke Arah Pengukuhan Institusi Kekeluargaan serta Surah Yasin yang diterbitkan itu akan diedarkan ke semua Mahkamah Syariah di seluruh negara.

“Penerbitan sebanyak 200 naskhah ini hasil kerjasama BSK JSKM dan PERTIS. Jika ada keperluan, kita akan terus menambah bilangannya demi manfaat masyarakat.

“Kita harap penerbitan ini menjadi permulaan kepada usaha berterusan bagi menghasilkan lebih banyak bahan bacaan braille berunsur perundangan serta kehakiman syariah.

“Maklumat berkaitan perundangan syariah dalam bentuk braille masih kurang. Justeru, saya harap JKSM dapat meneruskan usaha ini supaya golongan OKU penglihatan tidak ketinggalan dalam mengakses ilmu dan maklumat undang-undang Islam,” katanya.-BH Online