Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat terus memelihara dan mengekalkan perpaduan yang telah sekian lama terbina agar Malaysia sentiasa aman damai serta terus disegani pemimpin-pemimpin negara luar.

Perdana Menteri berkata, semua kaum di Malaysia khususnya pemimpin, perlu terus menjaga dan menyatukan komuniti masing-masing serta mengelakkan sebarang perbalahan yang boleh meruntuhkan perpaduan.

“Oleh itu, saya tidak mahu Sabah bergaduh dengan Selangor, Selangor gaduh dengan Sarawak, Perlis gaduh dengan Kelantan atau Cina gaduh dengan Melayu, Kadazan atau lain-lain.

“Sebab itu, setiap negeri kena jaga negeri masing-masing… saya tidak mahu ada negeri yang rosak… untuk kita menjadi baik, kita mahu Sabah dan Malaysia menjadi nombor satu di Asia… tetapi kita perlu bersatu,” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR; dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan pada Oktober depan, ramai pemimpin negara luar sudah berjanji datang ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

“Siapa yang akan datang? Perdana Menteri China, India, Kanada, Itali dan Presiden Amerika (Syarikat), Russia, Brazil, Afrika Selatan… Presiden Russia juga mahu datang walaupun belum disahkan. Namun apa yang penting, semua pemimpin dari 11 negara Asia akan datang,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan perasaan bangga kerana pemimpin negara luar menyegani serta menghormati Malaysia yang meskipun dihuni rakyat pelbagai kaum dan agama, tetap dapat bersatu serta hidup dengan harmoni.

“Oleh itu, kita perlu kekalkan perpaduan ini. Seperti hari ini, saya diberikan ini (topi Sigah) dan saya amat bangga serta menghormati budaya ini.

“Di rumah, saya tidak pakai ini tetapi kita kena raikan bersama. Ini cara kita dan ini tidak menyalahi budaya serta agama. Ini prinsip kita kalau bersatu,” katanya.-BH Online