SEPANG: Malaysia menghargai langkah negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf Palestin pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung (UNGA) 2025 di New York.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkembangan itu membuktikan perubahan luar biasa dalam sokongan dunia terhadap kewujudan Palestin.
“Negara-negara yang sebelum ini mendukung kewujudan Israel dan kini mengambil pendirian berbeza di UNGA, kita hargai pengiktirafan terhadap kewujudan Palestin.
“Ini perubahan yang sangat luar biasa. Umpamanya, United Kingdom yang 75 tahun lalu mewujudkan Israel, semalam turut mengiktiraf Palestin,” katanya pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC ) di gudang pusat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di sini, hari ini.
Di pentas UNGA, majoriti negara Eropah kini mengiktiraf Palestin termasuk Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Andorra, Monaco, United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal.
Dengan perkembangan itu, hampir 80 peratus daripada negara anggota PBB atau 151 daripada 193 negara kini mengiktiraf Palestin.
Ahad lalu, media antarabangsa melaporkan Britain, Australia dan Kanada mengiktiraf negara Palestin dalam perubahan besar dasar luar Barat selama berdekad, sekali gus mencetuskan kemarahan Israel.-BH Online