KUALA LUMPUR: Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) yang disambung semula November ini berpotensi membuka peluang besar dalam perdagangan digital, pemindahan teknologi hijau serta pembangunan rantaian nilai mampan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata EU kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia dengan mencatatkan jumlah dagangan dua hala bernilai AS$45.33 bilion pada 2024.
Beliau berkata, EU juga adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan menjadi destinasi eksport keempat terbesar selain sumber import ketiga terbesar negara.
“Malaysia terus menarik FDI (dari) EU, terutamanya dalam pembuatan, teknologi hijau dan ekonomi digital. Apabila rundingan untuk FTA Malaysia-EU disambung semula pada November ini, kami menjangkakan peluang baharu dalam perdagangan digital, pemindahan teknologi hijau dan rantaian nilai yang mampan,” katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2025 di sini, hari ini.
Mengenai ASEAN, Amir Hamzah berkata, Malaysia turut bekerjasama rapat dengan negara anggota untuk mengukuhkan keterhubungan pasaran, memperbaiki aliran modal rentas sempadan dan memperkukuh agenda kelestarian.
Beliau berkata, antara inisiatif utama termasuk Ekosistem Kelestarian Bersaling Hubung ASEAN (ASEAN-ISE) yang meningkatkan ketelusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merentas bursa serantau serta Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN bagi membangunkan pasaran karbon serantau.
“Malaysia dan ASEAN berdiri teguh mempertahankan multilateralisme serta perdagangan berasaskan peraturan. Inilah yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi selama ini, dan kami mengalu-alukan kerjasama lebih erat dengan EU untuk terus memperkukuh perdagangan global,” katanya.
Amir Hamzah menegaskan, ASEAN kini memberi tumpuan memperkukuh perdagangan intra-rantau menerusi pelbagai inovasi termasuk sistem pembayaran rentas sempadan yang lebih mudah, selain usaha menyelaras peraturan agar lebih seimbang.
Beliau berkata, keterhubungan ASEAN yang lebih erat akan memberi kestabilan kepada rantau ini, sekali gus menjadikan ASEAN sebuah blok dagangan yang lebih kuat untuk bekerjasama dengan EU.
Meskipun berdepan cabaran global, Malaysia dan ASEAN yakin hubungan ekonomi yang kukuh bersama EU akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih mampan dan sejahtera bersama.
“Ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan, kebolehsuaian dan inovasi, kualiti yang mencerminkan kekuatan kolektif dan keazaman rakyat dan industri.
“Malaysia sudah bersedia, ASEAN sudah bersedia. Bersama-sama, kita boleh mencipta masa depan yang inklusif, mampan dan dipenuhi dengan masa depan yang dikongsi bersama di mana semua orang mendapat manfaat,” katanya.-BH Online