Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Sejumlah 105,890 atau 97.32 peratus kenderaan perdagangan termasuk bas persiaran dan ekspres belum mengesahkan pemasangan peranti had kelajuan (SLD), ketika tempoh berbaki seminggu sebelum ia dikuatkuasakan bermula 1 Oktober ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, selepas hanya 2,915 atau 2.68 peratus daripada keseluruhan 108,805 kenderaan perdagangan yang terbabit dalam penggunaan SLD itu melakukan pengesahan setakat ini.

“Hanya 2,915 atau 2.68 peratus sahaja yang sudah membuat pengesahan… bakinya masih belum buat pengesahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penguatkuasaan secara rasmi berkaitan SLD iaitu peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan akan membabitkan kenderaan dibina selepas 1 Januari 2015.

Ia sebahagian usaha meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat.

Penguatkuasaan termasuk membabitkan bas persiaran dan ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) serta membawa lebih lapan penumpang, selain kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500kg.

Mengulas lanjut, Loke berkata semua pemasangan, konfigurasi dan pengaktifan SLD perlu disahkan pihak yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui pengeluaran Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian SLD.

“Slip berkenaan wajib dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) atau ketika urusan pembaharuan permit dengan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) serta sentiasa disimpan di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Tambah beliau, pengesahan itu perlu diperbaharui setiap dua tahun bagi memastikan SLD berfungsi dengan baik, manakala pihak yang terbabit dalam pengesahan diwajibkan mengemas kini maklumat pemasangan setiap kenderaan secara mingguan melalui sistem dalam talian JPJ.

“Slip Pengesahan dan Laporan Kefungsian yang sah hendaklah dimuat naik sebagai bukti untuk tujuan semakan serta pemantauan pematuhan oleh JPJ,” katanya.

Beliau menegaskan, tiada kompromi akan diberikan selepas tarikh berkuat kuasa, malah Notis 114 atau Notis Panggilan Temu Siasat akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi ketetapan itu.-BH Online