Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PARIS: Selepas hampir dua tahun konflik di Gaza, majoriti negara Eropah kini mengiktiraf Negara Palestin, termasuk Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Andorra dan Monaco. 

United Kingdom (UK), Kanada, Australia dan Portugal turut mengiktiraf Palestin baru-baru ini.

*Negara mana yang mengiktiraf Negara Palestin?*

Menurut kiraan AFP, hampir 80 peratus daripada anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu sekurang-kurangnya 151 daripada 193 anggota, kini mengiktiraf Palestin.

Enam negara Eropah iaitu Perancis, Belgium, Luxembourg, Malta, Andorra dan Monaco mengumumkan pengiktirafan Palestin di PBB pada Isnin lalu.

Sehari sebelum itu, UK dan Kanada menjadi negara G7 pertama yang mengiktiraf Palestin, diikuti Australia dan Portugal.

Negara-negara lain yang sudah lama mengiktiraf Palestin termasuk Russia, semua negara Arab, hampir semua negara Afrika dan Amerika Latin, serta kebanyakan negara Asia termasuk India dan China.

Algeria menjadi negara pertama yang mengiktiraf Palestin secara rasmi pada 15 November 1988, beberapa minit selepas pemimpin Palestin yang sudah meninggal dunia, Yasser Arafat, mengisytiharkan Palestin sebagai negara secara unilateral.

Puluhan negara lain mengikuti dalam beberapa minggu dan bulan berikutnya dan gelombang pengiktirafan lain berlaku pada akhir 2010 dan awal 2011.

Serangan Israel di Gaza, pada 7 Oktober 2023, mendorong 19 negara lagi mengiktiraf Palestin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berpendapat pengiktirafan itu seolah-olah memberi ganjaran kepada Hamas atas serangan tersebut.

Negara yang tidak mengiktiraf?

Sekurang-kurangnya 39 negara, termasuk Israel, AS dan sekutu mereka.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sepenuhnya menolak idea negara Palestin.

Antara negara Asia yang tidak mengiktiraf Palestin termasuk Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Begitu juga Cameroon di Afrika, Panama di Amerika Latin, dan kebanyakan negara di Oceania.

Sehingga baru-baru ini, Eropah paling terbahagi mengenai isu Palestin, dengan hanya Turkiye dan beberapa bekas negara blok Soviet yang mengiktiraf Palestin sehingga pertengahan 2010.

Beberapa bekas anggota blok Timur, seperti Hungary dan Republik Czech, masih tidak mengiktiraf secara bilateral.

Eropah Barat dan Utara dahulu bersatu dalam ketidakpengiktirafan mereka, kecuali Sweden yang mengiktiraf pada 2014.

Perang terbaru di Gaza mengubah situasi, dengan Norway, Sepanyol, Ireland dan Slovenia mengikuti jejak Sweden pada 2024, sebelum penambahan beberapa negara baru-baru ini. 

Walau bagaimanapun, Itali dan Jerman tidak merancang untuk mengiktiraf Palestin.

*Apa maksud pengiktirafan?*

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Aix-Marseille di selatan Perancis, Romain Le Boeuf, menggambarkan pengiktirafan status Palestin sebagai satu daripada persoalan paling rumit dalam undang-undang antarabangsa, berada di antara politik dan undang-undang.

Beliau memberitahu AFP bahawa negara-negara bebas memilih masa dan bentuk pengiktirafan dan tiada pejabat rasmi untuk mendaftarkan pengiktirafan.

“Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat menyenaraikan semua yang mereka anggap sebagai tindakan pengiktirafan, tetapi dari sudut subjektif sahaja. Begitu juga, negara lain akan menyatakan sama ada mereka mengiktiraf atau tidak, tanpa perlu memberi alasan sebenar,” katanya.

Namun, satu perkara jelas dalam undang-undang antarabangsa: “Mengiktiraf Palestin tidak bermakna negara itu baru diwujudkan dan tidak mengiktirafnya tidak bermakna Palestin tidak wujud.”

Katanya, walaupun pengiktirafan lebih bersifat simbolik dan politik, tiga perempat negara mengakui bahawa Palestin memenuhi semua syarat untuk menjadi negara.

Peguam dan profesor undang-undang Franco-British, Philippe Sands, berkata pengiktirafan Palestin mempunyai kesan simbolik yang besar.

“Saya tahu bagi ramai orang ini nampak simbolik sahaja, tetapi sebenarnya dari segi simbolisme, ia mengubah permainan.

“Kerana apabila anda mengiktiraf status Palestin, anda sebenarnya meletakkan Palestin dan Israel pada kedudukan sama rata dari segi perlakuan di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam podcast New York Times pada Ogos. – AFP