Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DOHA: Pemimpin Arab dan Islam menggesa supaya semakan hubungan dengan Israel dilaksanakan selepas berakhirnya mesyuarat tergempar di sini semalam.

Ia susulan serangan berdarah ke atas anggota Hamas di ibu negara Qatar itu minggu lalu. 

Sesi membabitkan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menghimpunkan hampir 60 negara itu bertujuan mengambil tindakan tegas selepas serangan Israel ke atas pegawai Hamas yang berpangkalan di Qatar ketika mereka membincangkan cadangan gencatan senjata di Gaza.

Kenyataan bersama hasil sidang kemuncak itu menggesa ‘semua negara mengambil semua langkah undang-undang berkesan dan dirasakan boleh menghalang Israel daripada meneruskan tindakannya terhadap rakyat Palestin’ termasuk menyemak hubungan diplomatik dan ekonomi serta memulakan prosiding undang-undang terhadapnya.

Negara Teluk yang juga sekutu Qatar iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain bersama Mesir, Jordan serta Maghribi, adalah antara yang hadir pada sidang kemuncak itu dan mengiktiraf Israel.

Pemimpin UAE, Bahrain dan Maghribi, yang menandatangani Perjanjian Abraham iaitu mengiktiraf Israel sejak lima tahun lalu pada tarikh sama, tidak menghadiri mesyuarat itu semalam, sebaliknya menghantar wakil pimpinan kanannya. 

Kenyataan itu turut menggesa negara anggota untuk ‘menyelaraskan usaha ke arah menggantung keanggotaan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)’. 

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) , Marco Rubio, akan tiba di sini hari ini, selepas berikrar memberikan ‘sokongan teguh’ terhadap matlamat Israel memusnahkan Hamas ketika lawatan ke negara itu.

Serangan itu menyebabkan hubungan antara Washington dan sekutu utama di Teluk tegang sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai jaminan keselamatan AS di rantau yang menempatkan aset utamanya termasuk sebuah pangkalan tentera besar di Qatar. 

Jabatan Negara AS berkata, Rubio akan ‘memberi penegasan semula berhubung sokongan penuh AS terhadap keselamatan dan kedaulatan Qatar selepas serangan minggu lalu itu.

Qatar menggesa tindak balas serantau yang bersepadu selepas serangan mengejut Israel. 

Sidang kemuncak itu bertujuan menambah tekanan ke atas Israel, yang berdepan desakan bagi menamatkan perang dan krisis kemanusiaan di Gaza.

Presiden Mesir, Abdelfattah al-Sisi memberi amaran bahawa serangan di Qatar itu ‘meletakkan halangan terhadap sebarang peluang untuk perjanjian damai baharu, malah menggagalkan perjanjian damai sedia ada dengan negara-negara di rantau ini’. 

Untuk rekod, Mesir adalah negara Arab pertama yang mengiktiraf Israel. 

Israel dan sekutu utamanya, Washington, sebelum ini berusaha memperluaskan Perjanjian Abraham yang ditandatangani ketika penggal pertama Presiden AS, Donald Trump, dengan memberi tumpuan khusus kepada Arab Saudi.- AFP