PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sebanyak 154 syarikat dengan 335 kenderaan sudah membuat permohonan subsidi petrol RON95 menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sejak dibuka semalam.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bagi sektor pengangkutan darat awam, sebanyak 70 syarikat dengan 240 kenderaan membuat permohonan.
Beliau berkata, bagi sektor pengangkutan darat barangan, sebanyak 84 dengan 95 kenderaan permohonan dibuat.
“Setakat semalam, sistem SKPS lancar berikutan trafik rendah. Jadi, dari segi jumlah memang ia amat rendah jika dibandingkan dengan anggaran kita.
“Mungkin juga kerana semalam cuti umum, maka syarikat-syarikat ini pejabatnya tidak beroperasi. Namun, kita bersyukur kerana ada syarikat yang mengambil inisiatif pada hari pertama.
“Walaupun cuti umum, mereka daftar (SKPS) juga dan ini satu usaha yang bagus kerana mengelakkan mereka menghadapi masalah di saat akhir. Jumlah (syarikat yang memohon) semua (mendapat) kelulusan serta-merta. Dokumen (diberi) lengkap, kita dapat beri kelulusan itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Lok Kawi Height, di sini, hari ini.
Armizan berkata, semua syarikat yang membuat permohonan kepada maksimum tiga syarikat minyak untuk mendapatkan diesel bersubsidi (fleet card).
“Ini komitmen kita bahawa mereka (syarikat minyak) akan dapat mengeluarkan fleed card dalam kadar segera berdasarkan kepada pengalaman kita melaksanakan SKPS pada tahun lalu.null
“Namun elakkan risiko (membuat permohonan) di saat akhir, kepada syarikat yang mempunyai kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan di mana tersenarai dalam senarai kelayakan kita keluarkan sebelum ini untuk membuat pendaftaran segera,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Armizan menggesa semua syarikat kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan untuk membuat permohonan manfaat subsidi petrol RON95 bermula semalam.-BH Online