IPOH: Kerajaan Perak akan membantu mangsa yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda daerah Muallim hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, berkata kerajaan negeri akan usaha sedaya upaya untuk membantu meringankan beban mangsa.
“Penghargaan buat sukarelawan, seluruh agensi dan jabatan yang bertungkus lumus menjalankan kerja menyelamat serta membantu mangsa banjir ini.
“Mudah-mudahan mereka yang terjejas tabah dalam mengharungi dugaan ini,” katanya.
Saarani memaklumkan beliau sudah turun padang ke Muallim tengah hari tadi untuk melihat keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7, Behrang Ulu dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir, Ulu Slim.
Beliau kemudiannya meninjau sekitar Kampung Baru, Behrang Ulu dan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Lembing yang turut terkesan dengan bencana itu.
Terdahulu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 194 orang daripada 48 keluarga di Muallim setakat 4 petang tadi, berbanding 131 mangsa daripada 30 keluarga pada jam 2 petang tadi.
Setakat ini tiga PPS dibuka di Muallim iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7, Dewan Orang Ramai Kampung Pasir dan Dewan Serbaguna Kampung Pauh, Behrang Stesen.-Berita RTM