Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Rakyat Malaysia tidak seharusnya memperkecilkan sumbangan bapa pengasas negara dari Sarawak seperti Tun Abang Openg dan Tun Temenggong Jugah Barieng hanya kerana latar belakang pendidikan mereka yang rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sebahagian tokoh pengasas negara dari negeri ini tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, mereka memiliki wawasan luar biasa dan semangat juang yang tinggi demi kemerdekaan dan masa depan rakyat.

“Walaupun tidak ke kolej, mungkin hanya bersekolah menengah, mereka mempunyai pandangan jauh yang luar biasa mengenai apa yang terbaik untuk rakyat Sarawak, khususnya dalam konteks geopolitik Asia ketika itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Komuniti Negeri Sarawak di sini, malam ini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta beberapa menteri kabinet Persekutuan dan negeri.

Anwar berkata, kehebatan tokoh-tokoh pengasas itu terletak pada keazaman dan komitmen terhadap perjuangan kemerdekaan, meskipun berada dalam keadaan serba kekurangan ketika itu.

Menurutnya, rakyat Malaysia yang tidak memahami sejarah mungkin menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu peristiwa biasa, tanpa menyedari cabaran besar yang dihadapi ketika era itu.

“Asia pada era 1960an berdepan pertembungan ideologi antara komunisme yang didukung oleh China dan Kesatuan Soviet serta demokrasi yang diperjuangkan oleh Amerika Syarikat dan negara Barat.

“Ketika itu juga wujud kebimbangan besar mengenai apa yang dikenali sebagai ‘domino impact’ iaitu kemungkinan negara-negara di rantau ini tumbang satu demi satu kepada pengaruh komunis,” katanya.null

Anwar berkata pemimpin awal Sarawak memahami betapa pentingnya untuk negara ini bebas daripada penjajahan dan berdiri kukuh demi keselamatan dan kemakmuran rakyat.

“Mereka faham bahawa kekuatan dan kebebasan hanya boleh dicapai dengan menanam semangat saling mempercayai serta memperkukuh persefahaman antara kaum dan wilayah.

“Saya kagum, kerana pemimpin-pemimpin negeri Sarawak hari ini masih mewarisi semangat juang dan perpaduan yang ditunjukkan oleh pengasas negara dahulu,” katanya.

Anwar berkata, keupayaan bapa pengasas Sarawak daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk bekerjasama harus dijadikan teladan dalam memperkukuhkan perpaduan negara.-BH Online