PUTRAJAYA: Semua pihak yang berkepentingan perlu berkongsi dan menyuarakan cadangan membina kepada kerajaan sepanjang penganjuran sesi libat urus Tribunal Antibuli sehingga akhir bulan ini.
Selain itu, pihak terbabit juga boleh berbuat demikian melalui portal khas dibangunkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di sini.
Azalina berkata sesi libat urus dan portal dibangunkan itu tidak akan mencapai matlamat jika ia hanya menjadi medan untuk melepaskan perasaan marah terhadap isu yang berlaku ketika ini.
“Sehingga akhir September ini, kita nak membuat penilaian, ini respon kerajaan MADANI. Kita sudah ada dalam pemikiran kita, dasar kita, tetapi kita mahu mendengar lebih banyak (pandangan) daripada orang awam.
“Lebih baik untuk orang awam menyatakan cadangan mereka kerana saya tahu di luar sana, banyak pakar, banyak cikgu pencen, pengetua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ada ramai yang mempunyai banyak pendapat.
“Jadi kenapa tidak, berilah pendapat, jadi kita boleh susunkan,” katanya selepas sesi libat urus Anti-buli, di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri sesi libat urus berkenaan, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.null
Selain menyertai libat urus berkenaan, orang ramai boleh juga menyumbang cadangan melalui laman sesawang https://petari.bheuu.gov.my/.
Azalina berkata, sesi libat urus itu akan dijalankan di beberapa lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pada sesi pertama jerayawara itu banyak cadangan dan pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak termasuk usul supaya hukuman rotan dikembalikan semula.
Katanya, beliau dan Menteri Pendidikan serta Menteri Komunikasi tidak akan menjawab persoalan yang diutarakan buat masa ini.
“Ada juga persoalan yang ditimbulkan sama ada undang-undang antibuli itu akan memberi tumpuan kepada kanak-kanak bawah 18 tahun atau terbuka kepada semua peringkat usia.
“Maknanya ia dibaca bersama dengan Akta Kanak-kanak ataupun kita mahu buka kepada semua pihak seperti mana tribunal gangguan seksual,” katanya.-BH Online