Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyuarakan harapan supaya Belanjawan 2026 akan terus memberi tumpuan dan sokongan kepada pembangunan sukan negara, khususnya dari aspek peruntukan yang mencukupi bagi sukan-sukan berpotensi tinggi.

Hannah berkata, kejayaan atlet negara seperti badminton dan wushu di pentas Kejohanan Dunia baru-baru ini membuktikan bahawa Malaysia tidak kekurangan bakat namun kekangan dana masih menjadi halangan utama untuk membawa sukan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Oleh kerana mempunyai prestasi yang bagus, saya harap Kementerian Kewangan akan terus memberikan sokongan dana kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk kita terus memberikan pelaburan dalam sukan-sukan seperti ini yang akan mendatangkan pingat dan hasil kepada Malaysia.

“Kita sudah membuktikan bahawa kita tak ada kekurangan bakat, kita hanya ada kekurangan dana dan kalau kita boleh mengatasi kekurangan dana itu dan dengan adanya pendedahan kepada mereka (atlet), saya yakin pingat ini akan berterusan,” kata Hannah.

Hannah memberi contoh kejayaan program Road to Gold (RTG) dalam meningkatkan prestasi pemain badminton negara, serta kejayaan kontinjen wushu yang menerima latihan intensif di China selepas peruntukan kepada sukan itu ditingkatkan menerusi Program Podium.

“Untuk badminton, kita boleh lihat khidmat tambahan melalui Road to Gold. Melalui Road to Gold, kita dapat jurulatih yang berpengalaman datang mengajar mereka dan kita boleh lihat prestasinya meningkat.

“Wushu pula, kita boleh lihat menerusi pelaburan dilakukan Majlis Sukan Negara. Mereka dimasukkan dalam Program Podium dan peruntukan diberikan kepada wushu meningkat sehingga RM4 juta setahun. 

“Hasilnya, atlet kita dapat pendedahan, latihan tambahan dan ini memberikan mereka keyakinan dan semua yang menang pingat ini, mereka ada kem latihan di China sebelum ke Kejohanan Dunia.

“Jadi ini membuktikan bahawa pelaburan itu… apabila kita letak duit di situ, untuk sukan sukan tertentu yang mempunyai potensi, kita akan dapat hasil tersebut,” katanya. 

Di Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara manakala Pearly Tan-M Thinaah meraih gelaran naib juara dalam acara beregu wanita. 

Kontinjen wushu pula memperoleh pencapaian terbaik di pentas Kejohanan Dunia yang berlangsung di Brasilia, Brazil apabila membawa pulang lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa.-BH Online