Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan ASEAN sejak enam dekad lalu bukan hanya terletak pada kepelbagaian, tetapi turut berpunca komitmen berterusan terhadap dialog, kerjasama dan konsensus.

Perdana Menteri berkata semangat itulah yang membolehkan ASEAN terus mengekalkan keamanan serta kestabilan meskipun berdepan dunia yang semakin kompleks.

“Secara kebetulan, minggu ini sahaja saya sempat bertemu dan berhubung dengan beberapa pemimpin ASEAN, sama ada secara langsung atau melalui panggilan telefon.

“Semuanya berlaku secara kebetulan, tetapi memberi gambaran jelas mengenai hubungan rapat yang wujud,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Ke-19 Mengenai Jenayah Transnasional di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Anwar berkata, beliau juga ada menghubungi Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang kini berada di Kemboja bagi membincangkan isu berkaitan konflik antara negara berkenaan dengan negara jirannya, Thailand.

“Selain itu, saya juga berbincang dengan rakan saya, Anutin Charnvirakul yang kini menjadi Perdana Menteri baharu Thailand yang antara lain menjurus soal kerjasama dua hala serta keselamatan sejagat.

“Saya sentiasa mengatakan bahawa saya kekal komited, meskipun ada isu sempadan antara Thailand dan Kemboja, namun kita bersyukur kerana ketika ini proses damai sedang diteruskan dan dihormati oleh kedua-dua negara itu,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut menerima panggilan daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto ketika mempengerusikan mesyuarat petang ini.

“Hubungan erat terjalin ini membuktikan ASEAN memiliki keunikan tersendiri. Saya tidak tahu ada rantau lain yang berjaya membina tahap kepercayaan bersama seperti ini.

“Serentak itu, ASEAN perlu terus mempertahankan kesentralan sebagai prinsip geopolitik utama bagi memastikan rantau ini kekal menjadi pusat rujukan, sekali gus mengelakkan kuasa luar daripada mendominasi hala tuju serantau,” katanya.

Seramai 300 delegasi dari negara anggota ASEAN berkampung di Melaka bagi menghadiri mesyuarat berkenaan bermula semalam.

Mesyuarat dipengerusikan Saifuddin itu adalah platform rasmi ASEAN yang menghimpunkan menteri-menteri negara anggota bagi membincangkan usaha sama memerangi jenayah rentas sempadan di rantau ini.

Antara fokus utama jenayah pemerdagangan orang, penyeludupan migran, keganasan dan ekstremisme, keganasan siber, pengedaran dadah, jenayah kewangan dan pemalsuan serta penyeludupan senjata api.-BH Online