Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PONTIAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN 17) Sabah.

Ketua Sekretariat War Room Pusat UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata walaupun kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memberi kelebihan dari segi jumlah kerusi, namun persiapan jentera tetap perlu diperkemaskan bagi memastikan kemenangan.

“Kalau kita dapat banyak kerusi bertanding, kemungkinan lebih banyak peluang kerusi yang kita boleh menang tetapi jangan hanya bergantung pada jumlah kerusi itu tanpa persiapan rapi.

“Di Sabah, saingan tiga penjuru atau lebih adalah perkara biasa. Ada saingan sembilan, 10 hingga 11 penjuru pada PRN sebelum ini, ” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Api-Api, di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, persepsi PH dan BN parti Malaya adalah tidak betul, tetapi PH dan BN adalah parti lokal dan nasional.

“Ini kerana pemimpin di Sabah adalah orang tempatan.

“UMNO dan BN juga lebih lama berada dalam politik Sabah berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Justeru itu, perlu yakin dengan pertambahan jumlah kerusi yang akan bertanding di Sabah, BN dan PH mempunyai keupayaan lebih besar untuk menang, ” katanya.

Pada Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, sebaliknya parti itu memutuskan hanya akan bekerjasama dengan PH pada PRN17 Sabah.

Mengikut peruntukan, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan bubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, selali gus membuka laluan kepada PRN17.

Pada PRN Sabah yang diadakan pada September 2020, BN menang 14 kerusi iaitu Pantai Manis, Tanjung Keramat, Karambunai, Pantai Dalit, Usukan, Tempasuk, Bengkoka, Lamag, Sukau, Sugut, Sungai Sibuga, Sungai Manila, Balung dan Tanjung Batu.-BH Online