Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kuasa diberikan kepada pemimpin adalah amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan rakyat menerima manfaat secara menyeluruh.

Atas sebab itulah Perdana Menteri berkata ujian sebenar bagi seorang pemimpin itu adalah sewaktu masih memegang kuasa.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau secara peribadi tidak mahu selepas bersara nanti hanya dikenang sebagai pemimpin yang pandai bercakap, tetapi gagal melaksanakan tindakan yang dituntut rakyat.

“Besok ada pencen orang berleter banyak mana (pun) orang dah tak dengar dah… orang (akan) tanya dulu kau buat apa?

“Saya tak mahu besok bila saya pencen, orang tanya (balik) Anwar bercakap (tetapi) pasal apa tak buat itu, tak buat ini… sebab itulah saya katakan ujian kita (sebagai pemimpin) itu masa kita berkuasa,” katanya menerusi kenyataan video di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menolak dakwaan segelintir pihak yang menuduh kononnya beliau tidak melakukan sebarang tindakan sepanjang menerajui pentadbiran negara, sebaliknya menegaskan setiap keputusan itu dibuat berpaksikan kepada kepentingan rakyat.

“Apabila kuasa digerakkan dengan amanah, rakyat menjadi penerima manfaat sebenar. 

“Pemimpin bukan sekadar pemegang kuasa, tetapi penjaga amanah rakyat dan pemacu kesejahteraan bersama,” katanya.

Anwar berkata, seseorang pemimpin seharusnya melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin sepanjang memegang jawatan, sama ada di peringkat negeri, Persekutuan atau dalam mana-mana institusi.

“Kalau orang nak tanya macam mana kamu nak buat, masa kamu ada kuasa baik daripada Persekutuan atau negeri, ataupun pengarah, ataupun Ketua Polis Negara…. masa kamu ada kuasa, cuba laksanakan dengan amanah dengan sebaik mungkin,” katanya.-BH Online