Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 yang julung kali diadakan pada 24 hingga 25 November ini di Kuala Lumpur.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama strategik Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI).

Bertemakan ‘Transformasi E-Dagang ASEAN: Merapatkan Jurang, Meningkatkan Daya Saing’, ia menghimpunkan penggubal dasar, agensi kawal selia, pemain industri serta usahawan dalam talian dari seluruh rantau untuk membincangkan hala tuju transformasi e-dagang serantau.

Antara syarikat utama yang menyokong persidangan ini termasuk Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell, mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kepercayaan digital dan mendorong inovasi ke arah pertumbuhan ekonomi digital ASEAN yang inklusif.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata penganjuran persidangan itu selari dengan komitmen Malaysia memperkukuh ekosistem digital serantau dan memacu ekonomi digital negara.

“Penyertaan semua pihak amat penting bagi memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan perlindungan pengguna serta membangunkan e-dagang yang mampan demi manfaat rakyat dan kesejahteraan serantau.

“KPDN mengalu-alukan penyertaan agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik, usahawan e-dagang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut sama menyertai persidangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, persidangan itu akan memberi tumpuan kepada dua teras utama iaitu mewujudkan pasaran e-dagang diyakini dengan memperkukuh perlindungan pengguna, selain memperkasa ekosistem digital termasuk aspek logistik ‘last-mile’, kewangan digital seperti Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) serta memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“E-dagang mampu mengubah landskap ekonomi dan memperkasa komuniti di seluruh ASEAN, namun kejayaan itu memerlukan kerangka peraturan seragam, kesiapsiagaan ekosistem serta kerjasama rentas sempadan,” katanya.

Persidangan itu dijangka menarik lebih 350 peserta dari negara anggota ASEAN, membabitkan 14 sesi perbincangan dengan 33 ahli panel daripada sektor awam dan swasta. 

Antara fokusnya termasuk dasar, inovasi dan cabaran industri e-dagang sejajar dengan aspirasi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang sedang dimuktamadkan.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, manakala ucaptama akan disampaikan Presiden International Marketplace, Alibaba International Digital Commerce Group, James Dong.

Turut tampil sebagai penceramah ialah Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Roziah Abudin; Ketua Pegawai Komersial Shopee, Zhou Jun Jie; Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Indrani Thuraisingham; wakil dari Thailand, Wimonrat Rukkhaworakul Teriyapirom; dan Naib Presiden Alibaba Group, Eric Pelletier.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai tahunan e-dagang negara mencecah RM1.23 trilion pada 2024, manakala bagi separuh pertama 2025 sahaja, sektor itu sudah mencatat pendapatan RM625 bilion, iaitu RM13.5 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Di peringkat ASEAN, laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company merekodkan nilai ekonomi digital serantau sebanyak AS$11 bilion pada 2024, hampir tiga kali ganda berbanding 2022. 

Angka itu dijangka melonjak kepada AS$1 trilion menjelang 2030, dengan e-dagang sebagai pemacu utama pada kadar pertumbuhan tahunan 22 peratus.-BH Online