Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyeru persatuan sukan di seluruh negara supaya menganjurkan lebih banyak klinik latihan bagi membangunkan kapasiti atlet dan jurulatih tempatan.

Beliau berkata beberapa jenis sukan yang mendapat sokongan dana sudah memulakan penganjuran klinik sedemikian dan capaiannya akan terus diperluaskan.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ada menyediakan dana untuk klinik-klinik itu, namun tidak banyak diuar-uarkan, tetapi ia sudah dimulakan dengan beberapa sukan.

“Saya bagi contoh, sepak takraw dan wusyu tetapi kami akan cari dana yang sama untuk tahun depan supaya terus diperkasakan supaya sukan lain juga menerima manfaat seperti itu,” kata Hannah pada sidang media sempena penganjuran klinik skuasy oleh pemain legenda Australia David Palmer di sini hari ini.

Terdahulu, bekas juara dunia itu mengadakan klinik skuasy selama empat hari dalam usaha menyokong pembangunan sukan berkenaan di Malaysia, khususnya dalam kalangan jurulatih dan pemain tempatan.

Hannah berkata pendekatan membawa pakar sukan antarabangsa ke dalam negara adalah antara strategi berkesan untuk meningkatkan tahap kemahiran atlet dan jurulatih, terutamanya apabila mereka tidak berpeluang menjalani latihan di luar negara.

Sementara itu, menyentuh mengenai insiden kemalangan maut membabitkan seorang peserta acara kayuhan berbasikal di Jalan Kuala Muda, Langkawi semalam, Hannah mengesahkan penganjuran acara berkenaan telah dikenakan sekatan oleh KBS.

Justeru, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan. – BERNAMA