Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK: Ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul pada Ahad secara rasmi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 selepas menerima perkenan diraja, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara itu.

Pemimpin berusia 58 tahun itu menerima perkenan bertulis daripada Raja Maha Vajiralongkorn di ibu pejabat parti.

Imej yang tular di media sosial menunjukkan beliau tunduk hormat di hadapan potret Raja Maha Vajiralongkorn sebagai isyarat simbolik penerimaan perkenan diraja.

Dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri, Anutin berikrar bahawa kerajaan pimpinannya akan bertindak mengikut undang-undang dan tidak akan mencampuri proses kehakiman.

“Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Dewan Perwakilan dan rakyat Thailand untuk berkhidmat sebagai perdana menteri. Saya berjanji akan bekerja sepenuh hati untuk setiap rakyat serta menegakkan perjanjian gabungan bermula dari saat ini,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Anutin berkata pentadbirannya akan memberi tumpuan kepada empat bidang kritikal yang menjejaskan kesejahteraan negara – ekonomi, keselamatan negara, bencana alam dan cabaran sosial.

“Sebagai kerajaan minoriti, kerja kami mungkin tidak berjalan dengan lancar atau pantas seperti kerajaan majoriti, khususnya di Parlimen. Justeru, saya merayu kepada semua Ahli Dewan Perwakilan supaya mengetepikan perbezaan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berikrar akan menumpukan sepenuh usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membawa negara keluar daripada krisis semasa.

Pada Jumaat, Anutin dipilih sebagai perdana menteri baharu selepas memperoleh majoriti dalam undian Parlimen.

Ahli politik veteran itu, yang disokong oleh gabungan pimpinan Parti Bhumjaithai serta disokong parti pembangkang Parti Rakyat, menewaskan calon Parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri, dalam Dewan Parlimen yang dianggotai 490 orang, dengan memperoleh 311 undi berbanding 152, manakala 27 berkecuali.-BH Online