Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berusaha menambah baik tempoh menunggu purata dua minggu yang terpaksa dilalui pesakit kanser paru-paru di negara ini untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu dilalui lebih 70 peratus pesakit dengan tempoh menunggu bermula sebaik seseorang itu disahkan menghidap kanser.

“Secara purata, sebaik sahaja seseorang disahkan menghidap kanser terutamanya selepas menjalani biopsi dan diikuti dengan ujian molekul, barulah kita boleh menentukan tahap sel yang terjejas.

“Bermula waktu itu sehingga permulaan rawatan, purata masa menunggu adalah kira-kira dua minggu untuk lebih 70 peratus pesakit.

“Kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki perkara ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen ‘Live, Laugh, Lungs’ sempena Hari Paru-paru Sedunia 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata memandangkan ramai pesakit sering didiagnosis pada tahap yang lewat, rawatan agresif terus dimulakan dengan pesakit dimasukkan ke wad dan rawatan dipercepatkan tanpa berlengah.

Sebelum ini, negara dilapor berdepan kekurangan serius kemudahan rawatan dan pakar kanser atau onkologi khususnya di hospital kerajaan.

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa pesakit mungkin tidak menerima rawatan tepat pada masanya, sekali gus meningkatkan kadar kematian.

Berdasarkan data KKM, terdapat 175 pakar onkologi di seluruh negara, sedangkan jumlah pesakit kanser direkodkan pada 2020 ialah 48,639 atau nisbah seorang doktor untuk 277 pesakit.-BH Online