PETALING JAYA: Seramai 4,916 atau 56.8 peratus daripada keseluruhan peserta program berhenti merokok kebangsaan di bawah kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya berhenti daripada tabiat itu sehingga Disember 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jumlah berkenaan mewakili 8,659 yang memberikan komitmen untuk berhenti daripada merokok melalui program dilaksanakan itu.
Ketika ini, katanya, terdapat 857 klinik berhenti merokok disediakan di Klinik Kesihatan (KK) seluruh negara, dengan keseluruhan 38,467 klien berdaftar.
Dalam pada itu, beliau mengakui kelulusan diberikan kepada Terapi Gantian Nikotin (NRT) sebagai produk ‘over-the-counter’ (OTC) banyak membantu memudahkan akses kepada bahan itu, sekali gus meningkatkan peluang kejayaan untuk berhenti merokok.
“Salah satu intervensi utama dalam program berhenti merokok kebangsaan ialah NRT, dengan antara (NRT) digunakan adalah gula-gula getah yang kini boleh didapati di farmasi tanpa (memerlukan) preskripsi.
“Berdasarkan Laporan Advancing Smoking Cessation in ASEAN: The Role of Nicotine Replacement Therapy 2025 oleh Social and Economic Reasearch Initiative (SERI), 77 peratus perokok berkemungkinan mengguna produk NRT jika ia dikategorikan sebagai OTC.
“Ini menunjukkan akses kepada NRT penting untuk meningkatkan peluang kejayaan perokok untuk berhenti merokok,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen ‘Live, Laugh, Lungs’ sempena sambutan Hari Paru-Paru Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Dzulkefly berkata beban penyakit paru-paru di Malaysia meliputi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.
“Ini termasuk kanser paru-paru, Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD), asma dan jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia, tuberkulosis, COVID-19 dan influenza.
“Tuberkulosis masih salah satu penyakit dengan beban yang tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 26,183 kes baharu dilaporkan pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata, hampir setengah juta kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun di Malaysia menghidap asma dan lebih daripada 1.4 juta orang dewasa telah didiagnosis dengan asma.
Kanser paru-paru pula, katanya adalah kanser kedua paling utama dalam kalangan lelaki dan ketiga dalam kalangan wanita serta merupakan antara tiga kanser paling utama di Malaysia.-BH Online