Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pembinaan Pusat R&D baharu PROTON yang bakal siap pada bulan ini dan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) PROTON di Tanjung Malim yang dijangka beroperasi seawal November 2025 akan menyumbang kepada peningkatan jumlah pekerja, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

“Lebih banyak pekerjaan untuk anak Perak di Tanjung Malim? Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) pacu kebangkitan Tanjung Malim sebagai hab automotif negara.

“Untuk PROTON sahaja, tenaga kerja di Tanjung Malim meningkat daripada 1,600 pada 2023 kepada 4,000 pada Julai 2025 Ini belum campur dengan pekerja vendor lain.

“Daripada 18 vendor pada awal 2024, kini ada 30 vendor beroperasi di AHTV,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.

Kilang EV PROTON di Tanjung Malim hari ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul berkata, Proton e.MAS 7 ialah model pertama yang akan dipasang di Tanjung Malim dan bakal disusuli oleh e.MAS 5, EV mampu milik pertama PROTON.

“Semoga usaha ini terus membuahkan hasil, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam penciptaan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” katanya.-BH Online