Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Pendapatan e-dagang Malaysia mencecah RM625 bilion dalam enam bulan pertama 2025, meningkat RM13.5 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, angka itu menunjukkan keyakinan terhadap ekosistem digital negara semakin kukuh dengan potensi pertumbuhan berterusan.

“Menurut DOSM, nilai pendapatan tahunan e-dagang pada 2024 mencapai RM1,230.6 bilion.

“Untuk suku pertama dan kedua 2025 sahaja, pendapatan e-dagang sudah mencapai RM625 bilion.

“Angka ini sahaja sudah RM13.5 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pra-pelancaran Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 25 November di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, persidangan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Malaysia E-Commerce Chapter di bawah Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) itu dijangka menghimpunkan lebih 350 peserta dari seluruh ASEAN.

“Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 ini adalah julung kali diadakan untuk menghimpunkan penggubal dasar, agensi kawal selia, pemain industri dan usahawan dari seluruh rantau.

“Ia akan diadakan dengan tema ‘Transformasi E-Dagang ASEAN: Merapatkan Jurang, Meningkatkan Daya Saing’,” katanya

Menurutnya, persidangan itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai syarikat e-dagang terkemuka termasuk Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah.my dan Carousell serta penaja bersama lain.

“Di peringkat ASEAN, laporan e-Conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company menjangkakan nilai ekonomi digital serantau mencapai AS$1 trilion (RM4.23 trilion) menjelang 2030.

“Unjuran menunjukkan sektor e-dagang ASEAN akan berkembang pada kadar tahunan 22 peratus, dengan Nilai Dagangan Kasar (GMV) mencecah AS$230 bilion (RM973.36 bilion) menjelang 2026,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan majlis persidangan berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Sementara itu, Presiden MICCI, Christina Tee berkata, pihaknya berbesar hati menjadi rakan penganjur bersama KPDN bagi Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November ini.

“Sebagai Presiden MICCI, saya berbesar hati berdiri bersama KPDN dalam memperkenalkan Persidangan E-Dagang ASEAN 2025. 

“Hari ini adalah langkah awal menjelang November nanti apabila Kuala Lumpur menjadi titik pertemuan pembuat dasar, platform dan usahawan dari seluruh rantau,” katanya.

Beliau berkata, e-dagang kini menjadi tulang belakang ekonomi digital ASEAN kerana mampu mengubah ekonomi, memperkasa komuniti dan membina daya tahan serantau.

“Untuk memastikan e-dagang terus mengangkat ekonomi kita, kita mesti membina perlindungan, memperkukuh kepercayaan dan memastikan peluang tidak hanya tertumpu kepada segelintir pihak tetapi dapat diakses di seluruh ekosistem,” katanya.

Katanya, kerjasama dengan pelbagai pemain industri mencerminkan keyakinan bahawa ekonomi digital ASEAN mesti berkembang bukan sahaja dari segi saiz tetapi juga dari aspek kekuatan dan kepercayaan.-MyMetro Online