Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA KUBU BHARU – Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara sedia membantu institut latihan pertanian di seluruh negara untuk melatih anak-anak muda yang berminat dalam bidang pertanian terutama dalam berteknologi tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin modul TVET yang tersedia selama ini telah terbukti baik kerana  penggunaan Internet benda (IoT) dan pedagogi pengajaran untuk mereka (TVET) menjadi keutamaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, hanya 30 peratus modul pembelajaran sahaja di dalam kelas manakala 70 peratus mesti berada di lapangan dan ini akan memberikan pendedahan bidang pertanian kepada pelatih TVET.

“Satu lagi aspek gaji premium yang diberikan kepada mereka dan jangan terikat kepada gaji minuman RM1,700. Apabila mereka diberi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, saranan yang dibuat Majlis TVET adalah gajinya adalah RM3,000.

“Bagi Tahap 5 dan setara diploma lazimnya, kebolehpasatan  cukup tinggi dan ia mencecah gaji premium RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS Ehsan Dairy Farm di Ladang PKPS Sungai Tengi Selatan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menambah, negara mengimport produk-produk tenusu dari luar negara yang bernilai RM4.6 bilion dan mengimport kira-kira 94.7 peratus bahan-bahan tenusu setiap tahun.

Menurutnya, langkah yang dilakukan Kumpulan PKPS adalah  satu perubahan yang diharapkan ia bukan hanya akan mengurangkan pengimportan.

Namun jelas beliau, ia penting untuk menentukan bahawa untuk penggunaan bahan tenusu ini mesti dikeluarkan cara domestik atau tempatan di dalam negara ini.

“Jadi sesuai dengan seruan Perdana Menteri ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 baru-baru ini, bebanan yang agak besar apabila kita mengimport bahan-bahan makanan termasuk tenusu ini dari luar negara.

“Jadi usaha oleh Kumpulan PKPS adalah usaha proaktif yang dilakukan dan akhirnya mengurangkan jumlah yang banyak produk tenusu dan pada hemat saya ia boleh dikeluarkan di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette