Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), tenaga dan kemahiran generasi muda bagi mempromosikan budaya serta warisan negara di mata dunia.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kepelbagaian budaya, warisan dan alam semula jadi adalah kekuatan utama Malaysia dalam menarik perhatian masyarakat dunia.

“Pihak kementerian sentiasa menggalakkan agensi media seperti RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan (JaPen) untuk menghasilkan kandungan berkualiti melalui penggunaan teknologi terkini seperti AI.

“AI membantu kita menghasilkan kandungan dengan lebih cepat dan efisien, tetapi langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya teknologi ini digunakan untuk tujuan kebaikan, bukan keburukan,” katanya selepas menjadi tetamu di Media Prima Audio di sini, hari ini.

Ditanya jika golongan belia masih berminat dengan warisan dan negara, beliau berpendapat sebahagian besar daripada mereka masih lagi berminat untuk mendalami keunikan yang ada di Malaysia.

Katanya, seiring kemajuan teknologi sedia ada, golongan belia dilihat boleh membantu dalam mempromosikan budaya dan warisan negara melalui platform digital. 

“Kebanyakan masyarakat luar kagum dengan keunikan rakyat Malaysia yang fasih bertutur dalam pelbagai bahasa, sekali gus mencerminkan keharmonian negara berbilang kaum,” katanya.

Nie Ching berkata, beliau turut memberi ucap selamat dalam pelbagai bahasa ketika berucap di majlis rasmi di luar negara sebagai simbol identiti Malaysia.

“Setiap kali saya ke luar negara, mereka sangat kagum melihat rakyat Malaysia yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa. 

“Ini menunjukkan keindahan serta kekuatan negara kita yang datang daripada kepelbagaian latar belakang.

“Jika mula berucap, saya akan mulakan dengan ‘Salam sejahtera Malaysia, selamat pagi’ dan sebagainya. Ini adalah pendekatan ringkas tetapi cukup unik untuk menggambarkan keindahan Malaysia,” jelasnya.

Mengulas pengalamannya menjelajah dalam negara, beliau mengakui masih banyak tempat belum diteroka, namun sangat kagum dengan pelbagai keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan.

“Malaysia bukan sahaja memiliki landskap semula jadi yang memukau, malah pembangunan pesat di bandar raya seperti Kuala Lumpur turut menjadi tarikan pelancong.

“Kita ada bangunan pencakar langit, gaya hidup moden di bandar, tetapi pada masa sama kita juga dapat menyaksikan budaya kaum pribumi di Sabah dan Sarawak yang masih terpelihara,” katanya.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba, beliau mengajak rakyat Malaysia, khususnya pengguna media sosial untuk berkongsi kisah dan pengalaman yang positif mengenai negara.

“Kita tahu kandungan negatif lebih mudah tular, tetapi saya rasa untuk satu bulan setengah ataupun satu bulan ini, biarlah kita kongsikan cerita yang indah mengenai Malaysia.

“Ini bagi memastikan semangat perpaduan dan patriotik dapat dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia serta menunjukkan rasa kecintaan kita terhadap Malaysia” katanya.-BH Online