KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 susulan Mahkamah Persekutuan bulan lalu memutuskan satu peruntukan utama undang-undang itu adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan sedang meneliti semua peruntukan dalam akta itu bagi memastikan ia selaras dengan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keperluan semasa negara.
“Sebarang keputusan terhadap akta terbabit akan dibuat dengan penuh teliti dengan mengambil kira hak kebebasan berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dengan keperluan menjaga ketenteraman awam, keselamatan negara dan hak orang lain,” katanya menjawab soalan Jiy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai lalu memutuskan adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan untuk menjadikan kesalahan kegagalan memaklumkan pihak polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman.
Terdahulu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 mengenakan hukuman yang melebihi had dibenarkan mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.-BH Online
