KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti semua aspek bagi memastikan siasatan berhubung dakwaan berlaku campur tangan dalam hal ehwal kehakiman dijalankan secara menyeluruh, adil dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM turut bekerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi melengkapkan siasatan ini.
“Hasil siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk keputusan selanjutnya sebaik saja siasatan selesai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai status siasatan laporan polis yang dibuat seorang pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan baru-baru ini berkaitan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang dikatakan disoal JAC kerana dakwaan campur tangan dalam hal ehwal kehakiman.
Pada 13 Julai lalu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kebocoran dokumen dipercayai sebagai minit mesyuarat JAC yang tular di media sosial.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata tumpuan siasatan terarah kepada pendedahan dan penyebaran maklumat, sama ada berlaku pada peringkat dalaman mahupun menerusi platform media sosial.-BH Online