Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti laluan pelaksanaan sesuai untuk ke fasa seterusnya bagi potensi penggunaan tenaga nuklear di negara ini, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata hal ini susulan hasil keputusan positif kajian prakebolehlaksanaan tenaga nuklear bermula Jun hingga Disember 2024, yang merumuskan penggunaan tenaga nuklear adalah berdaya maju untuk dilaksanakan dari segi teknikal dan berpotensi menjadi pilihan jangka panjang yang sesuai untuk campuran tenaga negara.

“Kajian turut mengenal pasti 24 penemuan utama dan 22 syor strategik yang perlu dilaksanakan bagi mencapai hasrat negara untuk memperkenalkan tenaga nuklear dalam campuran tenaga negara.

“Berdasarkan hasil kajian positif ini, kerajaan sedang meneliti laluan pelaksanaan sesuai untuk ke fasa seterusnya, selaras piawaian antarabangsa dalam aspek keselamatan, sekuriti dan juga kawal gunaan nuklear atau 3S (safety, security and safeguards),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) sama ada kementerian sedang melakukan kajian komprehensif berkenaan penggunaan tenaga nuklear pada masa akan datang bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih. 

Semalam Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dilapor berkata Malaysia tidak memerlukan persetujuan negara serantau untuk memulakan program tenaga nuklear sebagai sumber tenaga baharu kerana negara seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina dan Vietnam juga sedang meneliti untuk menggunakan nuklear sebagai sebahagian pelan tenaga masa depan mereka.

Bagaimanapun, Fadillah berkata kerajaan memerlukan pandangan masyarakat umum negara ini dalam penilaian penggunaan tenaga berkenaan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullag berkata, bagi menyokong fasa seterusnya, kerajaan melalui Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPower) sedang merancang untuk melaksanakan penilaian terperinci yang bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur tenaga nuklear negara antaranya memperkukuh kerjasama strategik serta rangka kerja perundangan dan kawal selia.

“Selain itu, kerajaan juga melaksanakan penilaian lokasi, kebolehlaksanaan teknikal dan komersial serta hala tuju pembangunan industri, memantapkan strategi libat urus dan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan menggubal kerangka nasional bagi pembangunan modal insan dan perancangan tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata penemuan dan syor dalam penilaian itu akan menjadi asas dan rujukan penting kepada kerajaan dalam membuat keputusan yang berpengetahuan menyeluruh dan berpandukan data berhubung pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada perancangan tenaga negara pada masa hadapan.-BH Online