Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan 1,980 permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak Malaysia yang dilahirkan di luar negara, selepas Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat tahun lalu.

Akta Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang diluluskan itu, antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika menjelaskan perkara itu bagaimanapun berkata ketika ini pindaan akta berkenaan sedang menunggu tindakan selanjutnya kerana perlu disusuli beberapa proses untuk membolehkan ia berlaku.

“Selepas pindaan Perlembagaan tempoh hari, isu anak yang lahir di luar negara yang ibunya adalah warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing akan mendapat taraf kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau kita istilahkan sebagai automatik. Tapi sekarang belum berlaku lagi.

“Kita perlu untuk (dapatkan) tarikh kuat kuasa iaitu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang disebutkan dalam Seksyen 1(2). Itu statusnya.

“Sementara pindaan yang baru kita luluskan itu boleh berkuatkuasa, maka ibu yang anaknya lahir di luar negara di mana pasangannya adalah warga asing, mereka boleh memohon mendapatkan kewarganegaraan anak.

“Kita akan proses (permohonan itu) di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Mereka boleh mohon di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Mereka juga boleh mengemukakan permohonan di Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai garis panduan terkini bagi kanak-kanak warganegara Malaysia dilahirkan di luar negara berikutan kelulusan pindaan Perlembagaan sama ada mereka perlu memohon semula.

Menjawab soalan mengenai bila kemas kini Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dapat diselesaikan, Saifuddin menjangkakan sekitar September atau Oktober ini.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dan memperhalusi 57 fasal terkandung dalam peraturan berkenaan sebelum perlu melakukan beberapa proses perolehan berkaitan.

“Kemudian kita kena pinda borang-borangnya sebab nanti permohonan ini akan dilakukan secara dalam talian. 

“Ini kerana sistem yang digunakan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara masih menggunakan borang dan format lama. Jadi proses ini mesti kita lakukan dengan cermat.

“Justeru, kita jangkakan ia tak boleh melewati sehingga hujung tahun depan atau pertengahan tahun depan. Itu pun tertakluk setelah kita dapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.-BH Online