KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pewartaan Akta Koperasi baharu menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) pada Jun 2026 sebelum dikuatkuasakan pada November atau Disember tahun yang sama.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata Rang Undang-Undang Koperasi memasuki fasa akhir penggubalan sebelum dibawa ke Parlimen untuk pembentangan yang dijangka pada awal Disember depan.
“KUSKOP dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sudah menjalankan 23 sesi libat urus membabitkan penyertaan 47 agensi kerajaan, koperasi premier, persekutuan, ANGKASA, universiti tempatan, koperasi dan anggota pentadbiran serta kerajaan negeri Sabah, Pulau Pinang, Johor, Pahang dan Sarawak.
“Dalam masa sama, KUSKOP turut mengadakan Majlis Mesyuarat Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 2/2025 lebih awal sebelum sesi pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan Oktober ini.
“Ia penting untuk memastikan gerakan koperasi dapat menyuarakan input dan cadangan Belanjawan dari perspektif koperasi untuk dipertimbang oleh Kementerian Kewangan,” katanya merasmikan Majlis Mesyuarat Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) di sini, hari ini.
Akta Koperasi 1993 akan dipinda membabitkan 96 peruntukan asal yang akan disusun semula dan ditambah baik.
Ewon berkata, pembentangan itu penting supaya Belanjawan 2026 disediakan tidak meminggirkan sektor koperasi negara.
“Hari ini ada tiga kertas pembentangan akan dibincang dan diharap anggota MPKK dapat memberi pandangan serta cadangan bernas.
“Pada Hari Koperasi Negara 2025 (HKN’25) di Melaka bulan lalu, jumlah jualan koperasi dan usahawan mencecah lebih RM1.1 juta, manakala potensi jualan diraih dianggar RM22 juta.
“Kehadiran 58,000 pengunjung mencerminkan koperasi terus relevan dan berperanan sebagai entiti membangunkan sosioekonomi masyarakat.
“Ini menunjukkan impak ekonomi yang signifikan kepada ekosistem koperasi tempatan,” katanya.-BH Online