Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) meminta audit tidak lagi dilakukan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) berhubung pematuhan piawaian standard halal seperti penyembelihan, sebaliknya dibuat badan diiktiraf agensi itu di negara berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pada masa ini terdapat dua badan halal yang diiktiraf JAKIM di AS.

“Permintaan daripada AS supaya audit tidak lagi dibuat oleh JAKIM tetapi dibuat oleh badan yang diiktiraf oleh JAKIM. Katakan (terdapat) 10 atau 20 syarikat penyembelihan (di AS), tak adalah JAKIM nak kena turun (lakukan audit) kepada syarikat-syarikat berkenaan.

“(Sebaliknya) bila dua badan yang diiktiraf oleh JAKIM ini buat (pengauditan kepada 10 atau 20 syarikat itu), JAKIM akan menerima audit.

“Cuma mungkin dalam setahun tu, JAKIM akan buat audit kepada dua badan (yang diiktiraf) ini (pula),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ambulans Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan semua produk dari AS yang mahu masuk ke negara ini, masih wajib mematuhi standard halal ditetapkan JAKIM.

Beliau turut menafikan laporan media asing yang mendakwa Malaysia sanggup berkompromi isu pensijilan halal kepada produk AS dalam rundingan tarif timbal balas dengan AS.

Tengku Zafrul berkata, perkara yang telah dipersetujui hanyalah untuk memudahkan proses pengimportan daging halal ke Malaysia dan proses ini akan dikendalikan oleh Agensi Peraturan Halal AS.

Menyentuh mengenai pelancaran ambulans, Mohd Na’im berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyumbangkan sebuah ambulans bernilai RM450,000 kepada IPR hari ini.

Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan bagi membantu IPR untuk menguruskan pemindahan pesakit, selain ia juga adalah tanggungjawab MAIWP.

“Sifat tanggungjawab ihsan yang ada pada MAIWP ini diterjemahkan dalam bentuk sumbangan dan bantuan yang diberikan kepada institusi.

“IPR dan Hospital Kuala Lumpur sangat penting disebabkan mereka membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang ada,” katanya.-BH Online