SUNGAI SIPUT: Maklumat tahap kesihatan sentiasa menjadi perkara yang dititikberatkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam memastikan program latihan ketenteraan atau separa ketenteraan di bawah kementerian itu disertai oleh mereka yang melepasi kelayakan itu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata selain maklumat kesihatan yang diperoleh melalui laporan yang diserahkan sebelum menjalani latihan, ujian tahap kesihatan turut dijalankan sepanjang sesi latihan bagi mengelakkan situasi maklumat kesihatan sebenar disembunyikan.
Menurutnya, kegagalan memenuhi keperluan tahap kesihatan tertentu adakalanya sehingga memaksa pelatih dihantar pulang daripada terus menjalani latihan berikutan latihan ketenteraan yang disifatkan agak tegas.
“Dalam apa keadaan sekali pun bagi program-program latihan kita termasuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kesihatan menjadi aspek penting. Bukan sahaja kita dapat laporan daripada peserta, tetapi kita juga memang ada ujian-ujian kesihatan ini.
“Yang mana kadang-kadang kita tak mahu laporan kesihatan itu disembunyikan dan sebagainya kerana ia akan memberi kesan memandangkan seperti kita tahu latihan ketenteraan secara fizikalnya memang agak tegas, yang menjadikan faktor kesihatan penting.
“Sebab itu mengikut pengalaman kita dalam PLKN sebagai contoh, bila ada mereka (pelatih) yang tak memenuhi sesuatu keperluan kesihatan itu maka kita hantar mereka balik kerana kita tak hendak mereka yang ada masalah kesihatan terbabit dengan latihan,” katanya kepada pemberita sewaktu program Veteran Desa MADANI di Pusat Sehenti Orang Asli (OAOSC) Bawong, di sini hari ini.
Adly ditanya mengenai kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai iaitu Syamsul Haris Shamsudin, 22, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), di Pasir Gudang, Johor, Isnin lalu.
Semalam, ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mendakwa maklumat awal yang diterimanya daripada pihak PALAPES menyatakan anaknya diserang sawan atau kekejangan sewaktu latihan ketenteraan itu, namun pemerhatian kendiri terhadap keadaan jenazah anaknya mendapati adanya keraguan serta tanda bahawa anaknya mungkin dipukul.
Kata Adly lagi, siasatan kes itu akan mengambil kira keseluruhan aspek bagi memastikan semua pihak sama ada keluarga, pihak universiti mahupun pentadbir PALAPES diberikan keadilan saksama, dengan pihaknya memberi jaminan bahawa Kementerian Pertahanan akan memberi kerjasama menyeluruh terhadap kes itu yang kini dalam siasatan polis.
“Kaedahnya kalau berlaku kematian atau kecederaan dan adanya laporan polis dibuat, maka memang kita di peringkat Kementerian Pertahanan akan beri kerjasama sepenuhnya dan dalam masa sama kita pun akan membuat siasatan dalaman kita juga untuk melihat apa aspek yang dapat atau perlu diperbaiki,” katanya.
Menurutnya lagi, ketegasan dalam latihan ketenteraan tidak bermakna bahawa kementerian itu menerima sebarang bentuk pembulian, yang justeru selain berdepan tindakan disiplin dalaman pelakunya yang sudah didapati bersalah juga harus berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Kalau berlaku isu-isu yang membabitkan pembulian, kecederaan dan sebagainya termasuk aspek jenayah maka kita akan serahkan kepada pihak berkuasa. Jadi kita ingatkan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan maka dia berdepan dengan tindakan disiplin dan juga harus berdepan dengan undang-undang.
“Jadi dalam kes PALAPES UTM ini, kita buat siasatan dalaman dan pihak polis buat siasatan menyeluruh untuk kita tidak timbulkan apa-apa persepsi,” katanya.
Hari ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jawatankuasa siasatan yang dianggotai Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwujudkan bagi menyiasat kematian pelatih PALAPES UTM itu.-BH Online