PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan penguatkuasaan pendidikan biarpun terdapat permohonan semakan kehakiman mencabar peraturan mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya menghormati proses perundangan yang dikemukakan dan tidak ada masalah untuk mana-mana pihak berbuat demikian.
“Kita menghormati proses perundangan sedang berlangsung dan dicadangkan supaya tempoh penguatkuasaan, maknanya membenarkan proses semakan kehakiman.
“Kalau soalannya bagaimana (untuk teruskan peraturan), (jawapannya) kita akan teruskan penguatkuasaan pendidikan.
“Saya sangat memahami dan sedar ‘judicial review’ (semakan kehakiman) yang mereka kemukakan, sama seperti kami juga dikenakan semakan kehakiman terhadap Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh yang lain memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Berdasarkan permohonan difailkan menerusi firma guaman Tetuan Ngeow Law Practice pada 25 Julai lalu itu, mereka menamakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.
Mereka memohon kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan keputusan KPDN bertarikh 29 April lalu (yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 30 April 2025).
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pihaknya akan meneruskan penguatkuasaan pendidikan berhubung peraturan itu sehingga keputusan diperoleh daripada semakan kehakiman dikemukakan.
“Saya sebagai menteri menerima dan tiada masalah untuk kita dengar (semakan kehakiman), kita menghormati proses perundangan,” katanya.
Pada 4 Mei lalu, Dzulkefly dilapor menegaskan tiada denda atau kompaun akan dikenakan terhadap farmasi dan klinik swasta dalam tempoh tiga bulan sekiranya gagal melaksanakan pemaparan ubat, kerana tumpuan KKM adalah pada aspek pendidikan terlebih dulu.
Setakat ini, KPDN mahupun KKM belum mengumumkan sebarang lanjutan kepada tempoh kelonggaran selama tiga bulan yang berakhir esok.-BH Online