KUALA LUMPUR: Infineon Technologies, gergasi semikonduktor dari Jerman telah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar dunia di Taman Perindustrian Kulim Hi-Tech, Kedah, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Tahukah anda potensi pelaburan RM30 bilion Infineon telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Jerman, susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Infineon di sana? Kini, potensi itu telah menjadi realiti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, fasa pertama kilang ini bukan sahaja sudah siap, malah telah mula beroperasi.
Katanya, pelancaran kilang ini oleh Perdana Menteri, turut dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bukti pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan kerajaan pusat dalam menarik pelaburan tambahan ke negeri Kedah.
Menurutnya, pelaburan mega ini bukan sahaja melonjakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran semikonduktor global, malah ia juga mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat tempatan.
“Ini adalah komitmen pelaburan yang sangat signifikan dan bukti keyakinan Infineon terhadap Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul menambah, komitmen Infineon untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga terserlah melalui Program Pembangunan Vendor Tempatan yang dilancarkan pada 15 Januari 2025, menyokong 139 syarikat tempatan.
“Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia yang menerima manfaat. Dari potensi, kita jadikan realiti,” katanya.-BH Online