KUALA LUMPUR: Agensi Promosi Pelaburan (IPA) di seluruh negara akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk memastikan industri tempatan tidak terjejas oleh isu tarif Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penubuhan Majlis Pemandu Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) akan berperanan memantau, menilai dan menyelaras tindak balas terhadap perubahan landskap perdagangan global, kejutan tarif dan halangan bukan tarif.
“Usaha ini bertujuan memastikan industri strategik dan ekonomi negara kekal berdaya tahan selain mampu bersaing dalam persekitaran global yang semakin mencabar dan tidak menentu,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berhubung langkah kerajaan dalam menangani isu tarif AS dengan keterlibatan kerajaan negeri supaya dapat menyelaraskan respons pelaburan, menyusun semula insentif negeri serta membantu industri tempatan mengadaptasi dengan landskap perdagangan yang lebih mencabar.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah memanggil Sidang Khas Parlimen mengenai Tarif Timbal Balas AS yang diadakan pada 5 Mei lalu.
Katanya, pada sesi khas itu, Perdana Menteri
“Dana pembiayaan mudah turut ditambah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan (DFI) bagi manfaat PKS yang terjejas,” katanya.
Di samping itu, katanya jaminan kerajaan ditingkatkan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) khusus untuk membantu pengeksport PKS.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga menerajui Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) dengan dana bernilai RM25 bilion untuk memacu sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
Katanya, sejak Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif timbal balas kepada negara-negara rakan dagangnya termasuk Malaysia pada 1 April lalu, kerajaan telah mengambil keputusan strategik untuk tidak mengambil sebarang tindakan balas kepada AS, sebaliknya mengambil pendekatan untuk berunding dengannya.
“Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa dalam rundingan perjanjian perdagangan timbal balas, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu yang menyentuh kedaulatan negara.
“Walaupun kita bersikap proaktif, tegas dan juga terbuka dalam rundingan dengan (AS), kita ada ‘redline’ yang telah dipersetujui oleh Kabinet,” katanya.
Katanya, ini termasuk dasar bumiputera dalam pemilikan industri tempatan dan sektor strategik, keutamaan kepada syarikat tempatan dan bumiputera dalam perolehan kerajaan serta berkaitan garis panduan halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan isu perlindungan harta intelek.
“Kita akan terus mengadakan rundingan dengan AS secara berhati-hati, telus dan profesional supaya setiap keputusan yang dicapai dapat memberi manfaat kepada rakyat dan memastikan pembangunan ekonomi kekal seimbang,” katanya. -BERNAMA