KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang membabitkan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan sebaik mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata hasil laporan akhir kajian Pasukan Petugas Komparatif akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri bulan ini.
Beliau berkata, bagi fasa pertama kajian, sebanyak tiga siri lawatan kerja bagi kajian empirikal iaitu di Kanada (Ottawa dan Toronto), Australia (Melbourne dan Canberra) dan di United Kingdom (London) sudah dilaksanakan.
“Satu laporan Interim yang mengandungi parameter dasar antaranya pelantikan, penamatan, kuasa, peranan, kebebasan hubungan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta hal-hal lain yang berkaitan sudah disediakan.
“Laporan Interim sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat dan JKPK Semakan Undang-Undang Dewan Negara,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung status semasa pelaksanaan reformasi institusi seperti pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta bilakah Kerajaan bercadang membentangkan rang undang-undang berkaitan.
Azalina berkata, kajian doktorial merangkumi kajian komparatif di sembilan buah negara sudah dilaksanakan antaranya yang membabitkan Kenya, India, Hong Kong dan Afrika Selatan.
Katanya, Kajian Saintifik Kemasyarakatan memperlihatkan persetujuan pelbagai lapisan masyarakat yang mahu pemisahan peranan dan pengasingan kuasa ini dilaksanakan.
“Selanjutnya kajian akan diteruskan oleh Pasukan Petugas Teknikal yang akan mengkaji pelaksanaan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ini,” katanya.-BH Online