KUALA LUMPUR, 21 Julai – Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai setiap tahun adalah manifestasi jati diri, semangat perjuangan serta kebanggaan anak-anak Sarawak terhadap sejarah, kedaulatan dan warisan negeri.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sambutan itu juga menjadi detik penting untuk menzahirkan penghargaan kepada generasi terdahulu yang berjuang membangunkan negeri berkenaan.
“Sebagai anak jati Sarawak, dan selaku Ahli Parlimen Kanowit serta Menteri Perpaduan Negara, saya amat berbangga melihat bagaimana Sarawak terus menjadi simbol perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian.
“Hari Sarawak adalah waktu untuk kita memperkukuh tekad membina masa depan yang lebih cerah, bersatu dan makmur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat, khususnya generasi muda, agar terus memelihara semangat perpaduan demi kesejahteraan negeri.
“Selamat Menyambut Hari Sarawak. Sarawak Maju Makmur,” katanya.-Berita RTM