SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi menggubal perundangan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan yang dimuat naik ke platform dalam talian.
Perdana Menteri berkata, ia penting bagi memastikan karya tempatan tidak berdepan pelbagai bentuk ancaman, termasuk plagiat ketika negara berdepan cabaran akibat ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau menerusi reaksi ke atas kes terkini membabitkan teknologi AI dan penulis di Amerika Syarikat (AS), menegaskan perlindungan itu akan menjadi instrumen bagi memastikan kekuatan daya cipta serta keupayaan pengkarya tidak terencat akibat isu hak cipta atau ketulenan.
“Mengenai masalah ‘copyright’ (hak cipta), jaminan bukan sahaja kepada kartunis, tetapi filem dan puisi yang kadang-kadang ‘mematikan’ kekuatan daya cipta dan keupayaan seniman melakar (karya).
“Harus ada beberapa peruntukan perundangan mengambil kira untuk meletakkan (karya) negara ini tidak hanya mengikut acuan ditentukan dunia luar, kemudian terperangkap… menghilangkan jati diri nilai dan harus yang dipupuk di sini (teknologi),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Melukis dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun karya Zunar di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan kartunis Zulkiflee SM Anwarul Haque.-BH Online