KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini diminta untuk menjadikan semangat hijrah sebagai asas memperkukuh kekuatan ummah dalam mendepani pelbagai cabaran semasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, penghayatan hijrah perlu diterjemahkan dengan berani berhijrah daripada ketakutan kepada harapan, daripada kelalaian kepada kesedaran, daripada kebencian kepada kasih sayang dan daripada kepentingan peribadi kepada kesejahteraan bersama.
“Semangat hijrah ini jugalah yang menjadi asas kepada Pelan Transformasi Al-Falah yang digerakkan demi membentuk ekosistem masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, selari dengan maqasid syariah serta cita-cita negara menuju Ihsan,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohd Ajib Ismail.
Mengulas lanjut, beliau berkata ummah kini berdepan pelbagai cabaran yang menguji jati diri termasuk krisis identiti dalam era digital serba pantas, gejala sosial yang membimbangkan, kelesuan semangat kolektif umat serta kefahaman agama yang terpisah daripada realiti semasa.
“Menjawab segala keresahan ini, kita perlu kembali menggali ibrah hijrah iaitu sejarah agung yang mengajar kita erti membina kekuatan dari dalam.
“Hijrah menuntut kita memperkukuh tiga tiang utama pembinaan ummah iaitu kefahaman Islam yang seimbang, berpaksikan ilmu, hikmah dan rahmat, pembentukan institusi keluarga yang kukuh sebagai benteng awal peradaban serta komitmen kolektif seluruh warga untuk mengangkat nilai-nilai murni dalam masyarakat dengan semangat ta’awun, islah dan ihsan,” katanya.
Kekuatan dalaman berkenaan yang bakal menjadi tonggak kepada kelestarian masyarakat Islam di Malaysia agar terus relevan, progresif dan bersatu padu menghadapi perubahan zaman.
Sementara itu, kepakaran dalam bidang perbankan dan takaful serta sumbangan berterusan dalam pendidikan dan sektor korporat mengangkat Datuk Mohd Fadzli Yusof, 81, sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1447H/2025M.
Dalam pada itu, Pengasas dan Pengarah Akademi Dr Har, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj menerima Anugerah Khas Kategori Ilmuan, manakala Anugerah Khas Kategori Aktivis Mualaf diberikan kepada Pengasas Program Dakwah Bergerak, Mohd Farhan Abdullah dan Muzayyanah Abdullah dianugerahkan Anugerah Khas Kategori Khas Pendakwah Kreatif serta Anugerah Khas Kategori Usahawan Asnar diberikan kepada Rosman Ariffin sempena sambutan Ma’al Hijrah berkenaan.
Semua penerima anugerah berkenaan membawa wang tunai, kepingan emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), plak dan sijil penghargaan serta hadiah iringan berupa buku.-BH Online