ROM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan bersama komuniti Islam di Itali.
Beliau bertemu Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS) Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam Itali – Masjid Besar Rom Abdellah Redouane.
Anwar berkata perjumpaan itu, memberi ruang untuk perbincangan dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah, termasuk menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah.
“Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali,” katanya selepas pertemuan itu.
Sebagai tanda persaudaraan, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Rom serta menyerahkan senaskhah al-Quran edisi khas, selain 10 lagi naskhah terjemahan dalam bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan dan penyebaran ilmu.
Terdapat kira-kira 2.7 juta penduduk beragama Islam di Itali.-BH Online