Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SINGAPURA: ASEAN perlu melangkah ke hadapan dengan membina syarikat dan teknologi gergasi sendiri, sekali gus beralih daripada model ekonomi lama yang terlalu bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan industri berasaskan eksport, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Menurutnya, dalam situasi geopolitik global yang tidak menentu dan bersifat multipolar, rantau ASEAN berada dalam kedudukan yang strategik untuk muncul sebagai pemain teknologi baharu dengan sokongan daripada negara anggota yang mempunyai asas pembuatan kukuh seperti Malaysia dan Singapura.

“Kita perlu memulakan langkah membina syarikat gergasi ASEAN dan teknologi kita sendiri. Bayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, kita memiliki versi mini Huawei atau Samsung di rantau ini.

“Selain pasaran ASEAN yang bersepadu, kita juga perlu menegaskan pentingnya mewujudkan lebih banyak syarikat, teknologi dan rantaian bekalan yang berasaskan ASEAN,” katanya ketika menyertai sesi dialog menteri di Persidangan ASEAN 2025 yang berlangsung di sini, hari ini.

Persidangan anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura itu menghimpunkan pembuat dasar utama sektor awam dan swasta dari seluruh ASEAN untuk membincangkan agenda perniagaan dan pelaburan serantau.

Mengulas lanjut, Liew berkata ASEAN wajar merangka satu dasar perindustrian bersama kerana kebanyakan negara anggotanya, kecuali Indonesia, terlalu kecil untuk melaksanakan dasar tersebut secara bersendirian.

“Kita perlu bertanya soalan yang betul untuk membolehkan penggubalan satu dasar perindustrian serantau. Ini penting untuk membawa landskap dan trajektori ekonomi ASEAN ke tahap yang baharu,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN kini berada pada kedudukan terbaik untuk menentukan hala tuju ekonominya sendiri dalam tempoh 20 tahun akan datang, terutama dalam era yang dibentuk oleh pelbagai cabaran geopolitik dan perubahan dalam struktur rantaian bekalan global, sejajar dengan Wawasan ASEAN 2045.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, katanya, berharap dapat memainkan peranan penting sebagai pemacu kepada perubahan paradigma ini.

Sesi dialog itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong serta Timbalan Menteri Pelaburan dan Kerjasama Kementerian Pelaburan dan Industri Hiliran Indonesia, Tirta Nugraha Mursitama.

Selepas sesi itu, Liew dan Gan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak antara United Overseas Bank (UOB), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Pengilang Singapura (SMF).

Dalam kenyataan berasingan, UOB berkata kerjasama itu bertujuan memperkukuh koridor perkilangan Malaysia-Singapura dengan memanfaatkan rangkaian serantau dan kepakaran UOB bagi membantu perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengembangkan operasi merentasi sempadan serta memanfaatkan peluang pasaran baharu secara mampan.

UOB turut memaklumkan bahawa kerjasama ini adalah lanjutan kepada momentum Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang telah dimeterai antara kedua-dua negara.

Menurut Liew, antara visi utama JS-SEZ adalah untuk membangunkan ekosistem rantaian bekalan yang lebih bersepadu dan berdaya tahan antara Malaysia dan Singapura.

“MoU antara FMM, SMF dan UOB ini amat tepat pada masanya kerana ia mampu menyatukan kekuatan dua negara dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih kukuh dalam persekitaran perdagangan global yang mencabar,” katanya.-BH Online