Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Isu kekurangan guru di negara ini berjaya dinoktahkan melalui pelbagai inisiatif dan reformasi yang dijalankan secara bersama membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata fokus KPM bukan hanya untuk memastikan isu itu dapat diatasi sepenuhnya, bahkan bagi menjamin setiap guru yang dilantik adalah berkualiti selari dengan keperluan pendidikan semasa.

“Buat pertama kali dalam sejarah, kita bersama SPP melaksanakan reformasi bagi memastikan tiada lagi isu berkaitan dengan kekurangan guru di negara ini dan kita menoktahkannya.

“Bagi memastikan isu ini diatasi, pelbagai mekanisme (dilaksanakan), khususnya memastikan guru dihantar berkualiti seterusnya dapat memenuhi keperluan anak-anak kita,” katanya ketika berucap bagi menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan (KPM) Ke-15 di Bangi Avenue Convention Centre, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor Kanan Pusat Kecemerlangan Akademik IPG, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz. 

Fadhlina berkata, permohonan memasuki IPG terus menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia menjadi petunjuk jelas bahawa karier guru masih menjadi pilihan ramai.

Sehubungan itu, katanya, KPM mengambil pelbagai langkah khususnya memperluas kemasukan ke institusi itu yang sebelum ini terhad kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mengambil kira keperluan semasa, selain permohonan masuk IPG yang meningkat dengan luar biasa saban tahun, antara langkah diambil adalah selain sediakan laluan untuk pelajar pasca SPM, kini ia diperluaskan kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz Ulul Albab (TMUA),” katanya.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi supaya graduan perguruan menjadi peneraju kepada inisiatif reformasi sekolah dengan langkah itu mesti bermula dari bilik darjah.

Beliau berkata, peranan guru dalam menjayakan reformasi pendidikan amat diperlukan khususnya melalui pendekatan baharu yang membahagikan institusi sekolah kepada tiga kategori iaitu Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi.

“Selepas ini anak-anak akan dapat ‘posting’ (penempatan) di sekolah tertentu, pastinya ia situasi sangat mendebarkan, tetapi apa yang ingin saya sampaikan, sebaik diberi penempatan, kamu adalah peneraju reformasi sekolah.

“Bercakap mengenai reformasi sekolah, KPM menetapkan ada (beberapa kategori) iaitu Sekolah Fokus yang harus diberi bantuan, Sekolah Aspirasi, sekolah yang ada potensi cukup besar dan ketiga, Sekolah Inspirasi, yang menjadi contoh kepada sekolah yang lain.

“Inilah tugas anak-anak sekalian untuk masuk sebagai tenaga pengajar baharu dan jalankan reformasi paling penting iaitu dalam kelas masing-masing,” katanya.

Fadhlina turut memaklumkan, kohort pertama pelajar pengajian peringkat sarjana di IPG akan menamatkan pengajian pada tahun depan.

“Tahun depan, insya-Allah kohort pertama pelajar pengajian peringkat sarjana di IPG akan menamatkan pengajian. Untuk makluman, IPG kini sediakan ruang untuk anak-anak yang sudah peroleh ijazah untuk sambung pengajian peringkat sarjana,” katanya.

Majlis Konvokesyen IPG bagi sidang ketujuh pagi ini menyaksikan seramai 679 orang graduan diraikan merangkumi program pengkhususan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua Pendidikan Rendah, Bahasa Melayu Pendidikan Rendah dan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah.

Pada sidang sama, graduan yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, kokurikulum dan akademik turut diberikan penganugerahan.

Majlis Konvokesyen IPG yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin lalu meraikan sejumlah5,390 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ambilan Jun 2021.

Semua graduan terbabit menamatkan pengajian dan latihan perguruan di 28 kampus IPG termasuk Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris.-BH Online