Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis sasaran kutipan hasil tambahan RM10 bilion daripada semakan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara bersasar bermula hari ini mampu dicapai meskipun beberapa pengecualian diumumkan baru-baru ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerajaan juga yakin sasaran defisit fiskal 3.8 peratus bagi 2025 mampu dicapai susulan peluasan skop SST dan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 separuh kedua tahun ini.

Lagipun, katanya, pertumbuhan negara masih utuh setakat ini dengan ekonomi pada suku pertama 2025 berkembang 4.4 peratus.

“Kami melihat pertumbuhan sangat kukuh. Pendapatan juga baik, justeru saya cukup yakin bahawa kita akan mencapai (defisit) 3.8 peratus menjelang tahun ini,” katanya pada sesi ‘Firechat’ sempena Persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025 anjuran bersama Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) dan Malayan Banking Bhd (Maybank), di sini, hari ini.

Minggu lalu dilaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengecualikan buah epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan cukai jualan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memutuskan untuk menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop Cukai Perkhidmatan. 

Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada Cukai Perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan Cukai Perkhidmatan tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan.

Mengenai pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Amir Hamzah berkata, kerajaan berpandangan sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula cukai itu,

Beliau berkata, jika dilaksanakan sekarang, ia akan menjadi lebih kompleks sejak cukai itu dimansuhkan pada 2018 memandangkan kebanyakan syarikat tidak bersedia untuknya.

Jelasnya, jika GST dilaksanakan, ia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk kemas kini yang diperlukan untuk sistem bersedia dengan GST.

“Negara tidak mampu kehilangan peluang. Terdapat banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk menjadikannya betul. Jadi ada isu praktikal dengan GST,” katanya

Mengenai perkembangan rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS), Amir Hamzah berkata, maklum balas yang diterima adalah positif dan kedua-dua pasukan mengadakan perbincangan dan rundingan yang baik.

Katanya, pendirian Malaysia kekal tidak akan mengambil tindakan balas, sebaliknya berhubung secara rapat dengan AS untuk memahami isu yang dibangkitkan dan mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak.

Lagipun, jelasnya, Malaysia berpegang kepada prinsip yang secara asasnya menyokong multilateralisme dan mahukan sistem perdagangan berasaskan peraturan.

“Multilateralisme akan membuka peluang baharu dan dengan adanya peraturan juga akan memberi keyakinan dan membenarkan pelaburan berkembang,” katanya.-BH Online