BENTONG : Presiden UMNO belum menerima sebarang surat rayuan atau permohonan rasmi daripada mana-mana individu untuk menyertai semula UMNO, kecuali dua nama yang telah diluluskan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua nama iaitu dua bekas ahli parlimen iaitu Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, selain daripada itu, tiada permohonan rasmi yang diterima.
“Saya menghormati usul yang disampaikan oleh Bahagian UMNO Sembrong, namun perkara itu sudah dibawa oleh Menteri Besar Johor selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor ke Biro Politik untuk dibincangkan.
“Untuk makluman, prosedur biasa memerlukan individu yang ingin menyertai semula UMNO untuk mengemukakan surat rasmi kepada Ibu Pejabat UMNO, saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menggantung keahlian, menyekat mana-mana individu dan mengeluarkan sebarang amaran,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong, di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai usul UMNO Bahagian Sembrong yang menyatakan hasrat supaya bekas ketua bahagiannya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diterima semula dalam kepemimpinan parti.
Perkara itu disuarakan secara terbuka dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, sekali gus ia masuk tahun kedua UMNO Bahagian Sembrong membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat.
Ahmad Zahid menjelaskan semua keputusan berkaitan perkara itu akan dirujuk dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“UMNO sentiasa menjunjung tinggi sikap berbaik sangka dan semangat keterbukaan, seperti yang digariskan sejak zaman kepimpinan Allahyarham Datuk Onn Jaafar.
“Sekiranya ada individu yang pernah melakukan kesilapan, terpulang kepada Majlis Tertinggi untuk membuat pertimbangan dan keputusan yang sewajarnya. Kita harus mengelak daripada menilai berdasarkan fitnah atau sentimen politik sempit,” katanya
Mengulas mengenai perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN), katanya, dalam pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor minggu lalu, dipersetujui untuk meneruskan rundingan bagi memuktamadkan kerjasama antara parti-parti terbabit.
“Satu mesyuarat khas sedang diperincikan bagi membincangkan agihan kerusi yang sesuai untuk ditandingi oleh Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau pihak lain menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
“Kita perlu belajar daripada pengalaman dalam PRN sebelum ini, di mana sehingga lapan penjuru bertanding yang akhirnya menyukarkan pengundi dan menjejaskan peluang kemenangan,” katanya.
Katanya, kerjasama politik haruslah berpaksikan strategi, realiti semasa, dan sentimen rakyat, bukan semata-mata soal lambang parti.
“UMNO juga kini mengorak langkah dengan pendekatan baru, merangkumi perkongsian kandungan melalui media dalam talian, penggunaan media sosial secara strategik dan pendekatan komunikasi yang lebih dekat dengan rakyat
“Kita perlu melangkah lebih jauh dalam pemikiran politik, bukan hanya terperangkap dalam naratif lama yang sering dimainkan oleh pembangkang,” katanya.-BH Online