Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LANGAT: Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan memberi kesan signifikan kepada ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan institusi swasta bagi pendidikan peringkat TASKA, TADIKA serta prasekolah, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, ia susulan Cukai Perkhidmatan (CP) yang meliputi aspek berkenaan hanya akan dikenakan terhadap pengusaha yang mengutip yuran pengajian lebih RM60,000 setahun bagi seorang pelajar.

“Ini lebih kepada mereka yang menghantar (anak) ke institusi swasta… bermakna mereka ini mampu dan orang ramai tidak perlu gusar kerana setakat ini difahamkan (kebanyakan) institusi swasta tidak mengenakan caj yang mencecah angka (RM60,000) setahun itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025, di sini, hari ini.

Nancy sekali gus menasihati pengusaha agar tidak mengambil kesempatan atas inisiatif itu yang bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian, sehingga membebankan ibu bapa.

“Kita harap mereka (pengusaha) menjalankan tugas dengan jujur untuk membantu ibu bapa agar mereka boleh kerja, dan pengusaha perlu mengingatkan diri mereka bahawa orang memerlukan perkhidmatan mereka. Jadi, jangan kenakan bayaran secara berlebihan,” katanya.

CP sebanyak enam peratus yang bermula 1 Julai ini meliputi perkhidmatan pendidikan termasuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah swasta itu tidak akan dikenakan kepada orang kurang upaya (OKU) warganegara Malaysia.

Terdahulu, Nancy menyampaikan anugerah kepada lima ikon cemerlang Program Anjung Sinar, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), dengan masing-masing mewakili kategori Pendidikan, Kepimpinan, Komuniti, Kerjaya dan Sukarelawan.

Pemilihan ikon-ikon itu dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan signifikan peserta sepanjang tiga tahun mereka digilap serta dibimbing melalui pendekatan menyeluruh yang ditawarkan oleh Program Anjung Sinar yang mula dilaksanakan pada 2023.-BH Online