SHAH ALAM: Undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) perlu disegerakan berikutan jenayah penipuan berkaitan teknologi itu dilihat semakin serius.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata berdasarkan dapatan, bagi tempoh 2020 hingga 2024, jenayah itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM5 bilion di seluruh dunia.
“Saya juga menjangkakan undang-undang Ai ini mungkin dapat diangkat (dibentangkan) pada tahun ini supaya kita dapat mengetatkan kawalan serta menggariskan hukuman yang bersesuaian terhadap mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan teknologi ini,” katanya.
Beliau yang ditemui media pada Majlis Gawai Kitai Ngiling Bidai 2025, di sini mengulas penyalahgunaan teknologi AI khususnya yang turut menjadikan pegawai tinggi kerajaan seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar S Muthuvelu sebagai objek manipulasi.
Acryl Sani dan M Kumar secara berasingan sebelum ini menafikan mereka muncul dalam video yang tular di laman sosial. Ia memaparkan individu menyerupai mereka menerima bantuan daripada individu bergelar Datuk.
Wilson berkata, kementerian sedar penyalahgunaan teknologi terbabit dan giat menjalankan kempen kesedaran menerusi Jelajah Malaysia Digital (JMD) untuk mendekati dan mendidik masyarakat terutamanya di luar bandar agar tidak menjadi mangsa. null
Sebelum ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, laporan penuh berkaitan cadangan peraturan serta kemungkinan penggubalan undang-undang khusus untuk AI akan dibawa ke peringkat Kementerian Digital akhir bulan ini.-BH Online