Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR GUDANG: Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM500 juta akan mula beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini.

HPG adalah hospital awam yang ketiga di Johor Bahru, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI). 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata HPG dijangka dapat mengurangkan kesesakan di HSA dan HSI apabila ia beroperasi secara penuh Julai tahun depan.

“HPG akan mula beroperasi segera dalam fasa satu mulai 1 Ogos ini membabitkan 30 peratus perkhidmatan teras dahulu terutama Jabatan Perubatan Am dan Nefrologi, Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETS), Jabatan Pediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (Ok&G) dan pembedahan, dalam fasa pertama ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berharap HPG akan beroperasi secara penuh mulai Julai 2026, membabitkan lebih 1,800 kakitangan dan ini akan mengurangkan bebanan dan tekanan kepada HSA dan HSI.

“Pakar-pakar kita pun sudah mula mengambil penempatan di sini khususnya jabatan utama sebagai persiapan mula beroperasi 1 Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad;Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dan Pegerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

HPG yang berkeluasan 20.6 hektar dan terletak di Bandar Seri Alam itu dilengkapi dengan 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar.

Antara fasiliti HPG termasuklah 36 unit blok kuarters kakitangan mengandungi Kelas G; 50 unit blok asrama jururawat selain sebanyak 1,507 lot parkir kereta, 320 lot tempat letak motosikal dan 32 lot tempat letak kereta OKU.

Mengulas cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 bagi mengurangkan kesesakan kritikal HSA, 

Dr Dzulkefly memaklumkan kerja awalan sudah dimulakan.

“KKM ingin maklumkan bahawa kerja awalan HSA 2 sedang giat dilaksanakan ketika ini. Maklumat lanjut akan dikongsikan apabila ia mencapai peringkat seterusnya,” katanya.

Bulan lalu, projek pembinaan HSA 2 dilaporkan kini dalam fasa akhir penyediaan kertas kerja, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut dan kelulusan pelaksanaan.

Tian Soon dilaporkan berkata, kemajuan itu dicapai selepas semua isu berkaitan pemilikan tanah dan kerja awalan diselesaikan sepenuhnya dengan kertas kerja dijangka diselesaikan, bulan lalu.

Tapak pembinaan hospital berkenaan dikenal pasti membabitkan sebahagian tanah milik Kementerian Pertahanan di Skudai dan telah diberikan kebenaran untuk dimajukan pembinaan HSA 2.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan peruntukan bagi kerja awalan melalui pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.-BH Online