Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEKINCHAN: Hasil sumbangan ekonomi Selangor membabitkan pertanian dan perikanan hanya satu peratus sahaja, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Sehubungan itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan hasil kedua-dua sektor itu dengan maksimum lima peratus dalam Rancangan Selangor yang seterusnya.

Mengambil contoh Projek Pelabuhan Bersepadu Sekinchan yang dilancarkan hari ini, beliau berkata ekosistem itu akan mengembangkan lagi kawasan terbabit yang terkenal sebagai ‘land of rice and fish’.

“Projek yang dilaksanakan ini akan menjadi platform yang boleh menggerakkan ekonomi Selangor sehingga lima peratus.

“Kita tidak membuka kawasan baru sebaliknya memperkukuhkan dan mengembangkan lokasi sedia ada,” katanya pada sidang media, di sini.

Pada masa sama, Amirudin mengakui saiz tanah adalah cabaran besar kepada pembangunan dalam Selangor.

“Kita bukan buka ladang beribu-ribu ekar sebagaimana kaedah yang dibangunkan sejak 1970-an,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai Projek Pelabuhan Bersepadu Sekinchan, Amirudin memaklumkan fasa pertama adalah pembinaan kompleks jeti yang dianggarkan mempunyai 30 hingga 40 tempat untuk bot nelayan beroperasi.

“Fasa seterusnya untuk kawasan ini adalah pembinaan tempat untuk membaiki, menyelenggara, membina bot besar dan ekosistem diikuti tempat pelancongan pada masa akan datang. Itu akan mengambil masa panjang.

“Kelulusan tanah sudah diselesaikan. Kita berharap Kebenaran Merancang (KM) dikeluarkan kepada pihak terbabit untuk memastikan rancangan ini dapat dilaksanakan,” katanya.-BH Online