Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam mendukung usaha keamanan serantau dan global, termasuk menangani ketegangan sempadan Thailand-Kemboja serta krisis kemanusiaan di Gaza dan rantau Asia Barat.
Dalam lawatan kerja ke Jakarta hari ini, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia dan Indonesia sependapat untuk mengambil pendekatan lebih proaktif dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, khususnya berkaitan isu sempadan yang kian membimbangkan.
“Kami berdua merasakan perlunya usaha bersama untuk mendekati kedua-dua negara dan mengurangkan suhu kehangatan antara mereka,” ujar Perdana Menteri dalam sidang khas bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di Jakarta.
Menyentuh mengenai isu Gaza, Datuk Seri Anwar turut mengecam sekeras-kerasnya kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza
“Kita mengecam keras kebiadaban Israel yang terus membantai rakyat Gaza. Kita sedikit lega dengan pelaksanaan ceasefire antara Israel dan Iran buat masa ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap hak Iran untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara tersebut daripada sebarang bentuk pencerobohan.
“Malaysia lantang menyuarakan pendirian terhadap pelanggaran Israel ke atas Iran dan mendukung hak negara itu untuk bertindak balas demi menjaga integriti dan maruahnya,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Datuk Seri Anwar menegaskan harapan bersama antara Malaysia dan Indonesia agar keamanan menyeluruh dapat dicapai di Timur Tengah, dengan jaminan kepada hak rakyat Palestin untuk hidup sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat.-Berita RTM